Ahli politik bukan pegawai kebajikan

Ahli politik bukan pegawai kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bahawa ahli politik di Malaysia kini lebih berperanan sebagai ‘pegawai kebajikan’ berbanding ‘penggubal undang-undang’ wajar dijadikan titik permulaan kepada satu perbincangan nasional mengenai hala tuju sistem politik negara.

Hakikatnya, ramai ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini menghabiskan sebahagian besar masa mereka menguruskan bantuan kebajikan, menghadiri majlis sosial, menyampaikan sumbangan, menyelesaikan aduan individu serta menguruskan pelbagai isu operasi yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Persoalannya, adakah itu benar-benar tugas seorang ahli politik?

Dalam sistem demokrasi berparlimen, fungsi utama wakil rakyat ialah menggubal undang-undang, menyemak dasar kerajaan, meluluskan belanjawan negara, mengawasi pentadbiran awam serta memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berhemah dan telus.

Mereka ialah pembuat dasar, bukan pelaksana operasi harian kerajaan.

Malangnya, persepsi rakyat juga telah berubah. Ramai mengukur prestasi wakil rakyat berdasarkan jumlah bantuan yang diberi, bilangan majlis yang dihadiri atau jumlah projek kecil yang berjaya diperoleh, sedangkan ukuran sebenar sepatutnya ialah sejauh mana mereka berjaya memperbaiki dasar, memperkukuhkan institusi dan meningkatkan keberkesanan kerajaan.

Keadaan ini menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara ahli politik dan agensi kerajaan. Sedangkan Malaysia mempunyai ratusan agensi yang diwujudkan khusus bagi menguruskan kebajikan, pendidikan, pembangunan masyarakat, ekonomi, kesihatan, perumahan dan pelbagai lagi perkhidmatan kepada rakyat.

Jika agensi kerajaan menjalankan tugas dengan cekap, bermakna rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada wakil rakyat untuk menyelesaikan setiap masalah harian. Sebaliknya, ahli politik perlu memainkan peranan memastikan agensi tersebut benar-benar berfungsi melalui mekanisme semak dan imbang yang berkesan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) juga melihat beberapa kelemahan sistemik yang menyumbang kepada keadaan ini.

Pertama, kewujudan peruntukan khas kepada ahli politik mewujudkan persepsi mereka turut bertanggungjawab menjadi pengurus kebajikan kawasan. Peruntukan pembangunan sepatutnya dilaksanakan secara lebih sistematik melalui kementerian dan agensi yang mempunyai kepakaran serta mekanisme pemantauan yang lebih mantap.

Kedua, kelemahan pengauditan dan pemantauan kewangan awam perlu diberikan perhatian serius. Audit yang lebih berasaskan risiko terhadap kod-kod perbelanjaan tertentu mampu mengesan ketirisan lebih awal sebelum menjadi skandal besar.

Ketiga, projek kerajaan yang menerima Lanjutan Tempoh Masa (EOT) berulang kali perlu menjadi indikator risiko utama kepada Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelewatan yang berulang bukan sahaja meningkatkan kos, malah boleh membuka ruang kepada salah urus dan penyalahgunaan kuasa.

Keempat, tempoh penempatan ketua-ketua agensi yang terlalu lama di sesuatu organisasi juga wajar dinilai semula. Putaran kepimpinan secara berkala merupakan antara amalan tadbir urus yang mampu mengurangkan risiko pembentukan rangkaian kepentingan dan konflik kepentingan.

Kelima, perolehan kerajaan yang dibuat di luar Perancangan Perolehan Tahunan perlu dipantau dengan lebih ketat kerana ia berpotensi meningkatkan risiko ketirisan serta mengurangkan ketelusan proses perolehan.

 

AHLI politik perlu kembali kepada peranan asal sebagai penggubal undang-undang dan penyemak dasar, manakala urusan kebajikan serta penyampaian perkhidmatan diserahkan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

 

Namun begitu, MCW berpandangan punca yang lebih besar sebenarnya ialah kemerosotan budaya politik itu sendiri.

Sebahagian ahli politik hari ini dilihat semakin jauh daripada fungsi intelektual sebagai pembuat dasar.

Perbahasan di Parlimen kadangkala lebih bersifat retorik, emosi dan politik kepartian berbanding berpaksikan data, kajian empirikal dan analisis dasar yang mendalam.

Setiap wakil rakyat sepatutnya mempunyai pasukan penyelidik yang mampu membantu menyediakan hujah berdasarkan fakta, bukannya sekadar bergantung kepada persepsi atau serangan politik.

Dalam masa sama, budaya pelantikan pegawai khas dan pembantu politik secara tangkap muat juga perlu diberi perhatian. Jawatan strategik tersebut sepatutnya diisi oleh individu yang mempunyai integriti, kompetensi, pengalaman dan kefahaman mendalam mengenai dasar awam, bukannya sekadar ganjaran politik.

Pegawai khas yang berkualiti akan membantu pemimpin menghasilkan dasar yang lebih baik. Sebaliknya, pegawai khas yang lemah hanya akan mengheret pemimpin kepada politik populis, perebutan projek dan budaya wang yang akhirnya mencemarkan imej institusi politik.

MCW percaya reformasi politik tidak akan berjaya sekiranya rakyat sendiri tidak mengubah jangkaan terhadap wakil rakyat.

Rakyat perlu berani menuntut perkhidmatan terus daripada agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan. Jika agensi gagal, ketika itulah ahli politik harus menggunakan kuasa semak dan imbang mereka untuk mendesak tindakan diambil.

Pendekatan ini diamalkan di banyak negara maju, di mana ahli politik tidak menjadi pengurus operasi harian, sebaliknya memastikan seluruh jentera kerajaan berfungsi dengan cekap, telus dan bertanggungjawab.

Akhirnya, persoalan yang perlu dijawab bukanlah sama ada ahli politik rajin turun padang atau tidak. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada mereka berjaya meninggalkan legasi melalui undang-undang yang lebih baik, dasar yang lebih berkesan dan institusi yang lebih kukuh.

Malaysia tidak memerlukan lebih ramai ahli politik yang hanya dikenali kerana sering menyampaikan bantuan. Malaysia memerlukan lebih ramai negarawan yang mampu membina sistem, memperkukuh institusi, memperjuangkan integriti dan memastikan setiap agensi kerajaan melaksanakan amanah kepada rakyat.

Apabila ahli politik kembali kepada fungsi asal sebagai penggubal undang-undang, sementara agensi kerajaan melaksanakan tanggungjawab mereka secara profesional dan rakyat memahami peranan sebenar kedua-dua pihak, maka, negara akan menikmati tadbir urus lebih cekap, akauntabiliti lebih tinggi serta ruang rasuah yang semakin sempit.

Inilah reformasi sebenar yang perlu diperjuangkan demi masa depan Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN