MUKADIMAH
MENJAGA pentadbiran hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan antara tugas berat dan seringkali menjadi ‘lubuk’ dan sasaran untuk dipolitikkan.
Malah, adakalanya segelintir pihak mengeksploitasikan hal-hal berkaitan sehingga menerbitkan bibit-bibit kebencian. Antara yang paling menjadi tumpuan sudah semestinya Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji ).
Pengarang dan wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMMAD RADZI MOHD. ZIN; MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) DATUK DR. MOHD. NAI’IM MOKHTAR untuk mendapatkan penjelasan beliau dalam isu berkaitan. Turut membantu, jurufoto , FAISOL MUSTAFA.
KOS HAJI DAN UMRAH
MINGGUAN MALAYSIA: Berhubung dengan kos terbaharu bagi jemaah haji termasuk subsidi yang diperuntukkan. Sudah ada keputusan dan penetapan?
Belum lagi diputuskan. Yang itu Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) pun baru bersidang untuk membuat keputusan. Jadi mereka belum jumpa dengan saya. Kalau ikut prosesnya jika sudah dah ada keputusan itu, satu kertas jemaah menteri perlu dibawa untuk makluman Kabinet.
Pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah baru-baru ini. Apakah perkara yang dibincangkan?
Selain perbincangan kuota haji, beliau rasa kagum khususnya berkaitan kebolehan ilmu pengetahuan yang dimiliki jemaah Malaysia berbanding jemaah negara lain.
Beliau sendiri nampak dan menemu bual jemaah haji kita serta jemaah negara lain dengan pemahaman dan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka. Selain itu, beliau memuji kursus haji dikendalikan Tabung Haji.
Beliau secara peribadi turut menyatakan hasrat mahu datang ke Malaysia pada 26 Februari nanti sehingga 1 Mac untuk melihat bagaimana kursus haji dilaksanakan.
Daripada situ, beliau akan cuba untuk terapkan salah satu perkara asas yang boleh dibawa ke negara lain bagi memastikan semua jemaah haji mempunyai ilmu kukuh. Kami banyak bertukar fikiran dalam konteks tersebut.
Beliau turut mahu menjadikan Malaysia sebagai model kursus haji. Semasa persidangan haji dan umrah kita menerima Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam.
Bagaimana Datuk melihat peningkatan kos umrah pada masa sekarang?
Pertama isu kenaikan harga kos yang banyak adalah disebabkan hotel. Jadi ada kecenderungan untuk menaikkan harga bilik. Jadi kalau dalam konteks haji, kita boleh melaksanakan perundingan sebab itu memang bidang kuasa kita.
Contohnya, Tabung Haji sewa untuk tempoh panjang lima tahun dan ia sudah semestinya boleh kawal (kos).
Namun dalam konteks umrah pula, perkara ini terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Saya berharap apabila lawatan Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah nanti, kedua-dua menteri boleh mengadakan perbincangan mengenai isu ini.
ISU HALAL
Isu halal luar negara membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menimbulkan banyak persoalan berhubung kemampuan dan integriti agensi ini. Adakah Jakim wajar dijenamakan semula?
Saya setuju kerana ini melibatkan isu makanan. Kita mahu pastikan suara rakyat di negara kita dan Jakim sebagai agensi yang kawal selia (sijil halal) memainkan peranannya.
Kita bimbang sekiranya cara penyembelihan tidak mengikut piawaian, ia memberi kesan kepada pemakanan kepada umat Islam.
Dalam konteks ini, saya dalam proses untuk berbincang dengan melibatkan semua pihak termasuk pengilang dan syarikat yang terlibat dalam industri halal.
Kami ambil pendekatan sit to understand first sebelum buat kenyataan lengkap. Maknanya, di peringkat awal mahu mendengar penjelasan semua pihak berdasarkan prinsip tabayyun.
Apabila jelas kedudukan perkara tersebut, kita cari jalan penyelesaian dan apa tindakan yang boleh diambil kerana ini isu yang diberikan perhatian. Kalau tersalah, makanan itu akan jadi darah daging.
Cuma saya perlu memahami isu sebenar dan lihat apakah tindakan yang perlu diambil khusus dalam konteks ini. Apa pun, saya tidak akan kompromi. Kalau itu kesilapan, tak salah kita mengaku dan kita perlu pastikan perkara tersebut.
Setakat ini kita mula panggil pihak lain yang terlibat termasuk penulis blog Murray Hunter.
Saya difahamkan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dan Murray akan mengadakan perjumpaan dalam talian. Tetapi pada saat akhir Murray mempunyai hal lain. Insya-Allah kalau ada kekurangan di pihak kita, tidak menjadi masalah untuk kita terima dan buat penjenamaan semula serta bersedia menerima perubahan. Kita perlu Islah, membuat perubahan dan menambah baik kalau ada kesilapan.
POLIGAMI
Datuk berpengalaman luas dalam bidang undang-undang syariah. Adakah yang ramai takut memohon poligami di Malaysia secara sah disebabkan tiada kebenaran mahkamah ekoran ketidakmampuan terutama daripada segi pendapatan?
Asas peruntukan undang-undang (dalam isu poligami) mengikut Seksyen 23 Akta Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri.
Peruntukan ini jelas menunjukkan mana-mana suami yang mahu berpoligami perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah.
Sebelum mahkamah memberi kebenaran, terdapat empat syarat. Jadi kemampuan tadi adalah salah satu daripada empat syarat yang ditetapkan.
Berbalik kepada persoalan tadi (faktor kemampuan), ia bukan disebabkan itu sahaja. Maknanya, ada syarat lain yang menyebabkan lelaki lari nikah ke Thailand.
Saya ambil contoh. Peruntukan dalam Seksyen 23 kata apabila permohonan dikemuka di mahkamah, mahkamah perlu panggil isteri sedia ada, wali dan bakal isteri.
Maka ia bukan sebab ketidakmampuan semata-mata (permohonan ditolak). Undang-undang sedia ada kata isteri pertama perlu dipanggil ke mahkamah, jadi ada suami hendak elakkan perkara ini.
Isteri pertama dipanggil ke mahkamah untuk memastikan suaminya mampu berlaku adil, cukup sudut kewangan dan tidak timbulkan darar syarie (bahaya).
Selepas itu, kalau isteri dikatakan mandul, itu juga satu keperluan. Maknanya, empat syarat dipatuhi dan dibuktikan. Keempat-empat syarat bukan berasingan dan perlu dibuktikan bersama.
Selain itu, mahkamah mahu menilai isteri yang bakal dikahwini akan dilayan dengan baik. Jadi, apa buktinya?
Isteri sedia ada datang ke mahkamah dan maklumkan ke mahkamah betul atau tidak dia ada kemampuan. Betul ke dia akan berlaku adil sedangkan isteri sedia ada kena pukul?
Ini bagi membantu mahkamah membuat keputusan dan kelulusan berdasarkan bukti kukuh. Kalau dengar sebelah pihak sahaja itu tidak adil.
Untuk bakal isteri dan wali pula, kita ada kes di mana lelaki yang bakal dikahwini merupakan suami orang dan bakal isteri serta bapa mertua pun tidak tahu mengenai hal tersebut.
Justeru rasionalnya, seksyen ini untuk memberikan keadilan kepada semua pihak terutama isteri dan anak-anak supaya dia tahu status mereka. Sebab itu, ia perlu dilihat daripada semua sudut.
Namun daripada segi hukum perkahwinan (luar negara ) sah. Yang penting lima rukun nikah tidak kisah sama ada dibuat di Thailand atau di mana sahaja dipatuhi.
Isu sebenarnya di sini adalah pengiktirafan undang-undang. Kita mahu didik supaya mereka mematuhi hukum syarak.
Apabila perundangan tidak iktiraf perkahwinan dan berlaku apa-apa seperti isteri tidak diberi nafkah atau dipukul, perkara ini akan susah dan tidak tahu kedudukan sebenar. Yang jadi mangsa nanti isteri serta anak-anak.
Untuk mengelakkan perkara sedemikian, pasangan boleh buat permohonan dapatkan satu perintah daripada hakim bagi urusan pendaftaran pernikahan tersebut.
Cuma, pejabat agama tidak boleh keluarkan sijil nikah selagi tiada permohonan. Apabila mereka kemuka permohonan, sudah tentu akan dikenakan penalti. Kalau tidak tiada beza dengan mereka yang ikut undang-undang.
Berapa jumlah permohonan poligami diterima dan berapa jumlah yang ditolak?
Tahun lalu, terdapat 10 permohonan poligami didaftarkan di Wilayah Persekutuan diikuti Johor (6), Kelantan dan Melaka ( 5) manakala bagi Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Sabah mula satu permohonan didaftarkan.
Apakah pengalaman paling tidak boleh dilupakan sepanjang datuk mengendalikan kes-kes syariah?
Pelbagai. Ada yang tabur pasir dan cubaan sihir. Ada yang satu ini saya masih ingat lagi mengenai seorang isteri yang mahu buat permohonan fasakh atas alasan didera.
Peliknya si isteri berbadan besar dan suaminya kecil. Saya macam tidak percaya pula apabila isteri kata didera. Apabila perbicaraan berlangsung, isteri mendakwa pada malam kejadian, selepas mandi tiba-tiba suaminya tarik rambut daripada belakang,
Mereka pun bergumpal. Suami dia terus jerit mengucap. Saya kata kenapa dah nak mati ke? Suami kata tidak. Rupa-rupanya dia dihempap isteri. Habis satu mahkamah ketawa. Saya terpaksa tahan dan selepas itu saya ketawa dalam bilik sebaik tamat perbicaraan.
KES PENCERAIAN
Adakah kes penceraian dalam kalangan peguam syarie serius?
Saya tahu ada kes sedemikian tapi tidak tahu jumlahnya dan sama ada ia serius atau tidak.
Tapi saya selalu beritahu mereka, apabila mereka jadi peguam syarie ujian lagi besar. Jumpa klien bermasalah. Saya selalu pesan etika kena jaga betul-betul kerana klien mahu luahkan perasaan. Selepas itu nanti boleh jatuh hati.
Terdapat dakwaan peguam syarie terlibat salah laku termasuk sengaja melewat-lewatkan kes untuk meraih keuntungan. Pandangan Datuk?
Saya tidak menafikan kemungkinan itu ada. Sewaktu saya Ketua Hakim Syarie, saya ingatkan peguam perlu ada etika. Mereka perlu bersifat profesional, bantu klien selesaikan seberapa segera pantas kes yang ada. Kalau ia diselesaikan cepat, kos guaman kurang. Lagi panjang lagi banyak kos. Itu logik akal. Kalau kes tadi panjang atas alasan yang betul, contoh memerlukan saksi ramai itu tidak mengapa.
Tetapi kalau sengaja untuk panjang kes tersebut dengan harapan mereka boleh caj lagi banyak itu tidak beretika. Kalau ada unsur sedemikian, kita ada Jawatankuasa Peguam Syarie. Jawatankuasa ini akan siasat dan kalau tidak beretika mereka boleh tarik lesen amalan peguam syarie.
Bagaimana komitmen datuk untuk memastikan integriti 14 agensi berada di tahap tertinggi?
Saya di awal pertemuan dengan ketua agensi memang ada menyebut prinsip yang diperkenalkan iaitu ilmu, integriti, ikhlas dan istiqomah.
Jadi integriti berkait dengan amanah. Maknanya kita dalam agensi perlu sentiasa amanah, berpegang kepada integriti .
Allah SWT suruh kita semua menunaikan amanah masing-masing. Apatah lagi kita dalam agensi agama. Orang pandang tinggi . Atas dasar itu saya secara peribadi diberi amanah jadi menteri agama, saya mengharapkan komitmen sama daripada ketua agensi sehinggalah kepada warga kerja di 14 agensi untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan. – Mingguan Malaysia










