Serangan dangkal terhadap agensi kerajaan - Utusan Malaysia

Serangan dangkal terhadap agensi kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam mana-mana sistem demokrasi, kritikan terhadap kerajaan merupakan perkara biasa dan diperlukan. Ia berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menambah baik dasar, memperkukuh institusi serta memastikan pentadbiran sentiasa berada di landasan yang betul. Namun situasi yang sedang berlaku ketika ini memperlihatkan sesuatu yang menyimpang daripada kelaziman tersebut.

Serangan yang ditujukan kepada agensi-agensi kerajaan bukan lagi berbentuk teguran membina atau kritikan berasaskan cadangan penambahbaikan. Sebaliknya, ia lebih bersifat peribadi, emosional dan mencipta persepsi negatif tanpa disokong hujah serta data yang kukuh. Yang lebih luar biasa, serangan ini datang daripada pemimpin parti yang berada dalam kerajaan sendiri. Inilah yang menjadikannya sebagai satu bentuk serangan bersifat dangkal dan mengarut.

Lazimnya, kritikan keras dan cubaan memburukkan imej kerajaan datang daripada pembangkang, selari dengan peranan mereka dalam sistem demokrasi. Namun apabila serangan yang sama datang daripada mereka yang berkongsi kuasa, menikmati mandat rakyat dan duduk dalam ‘group whatsapp’ yang sama, ia tidak lagi boleh ditafsir sebagai perbezaan pandangan semata-mata. Sebaliknya, ia menyerupai sabotaj halus yang melemahkan kerajaan dari dalam.

Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan hari ini, bukan kerajaan paling sempurna, masih berdepan pelbagai kekangan dan kelemahan, termasuk dalam aspek urus tadbir, penstrukturan semula agensi dan pemulihan ekonomi. Namun usaha memperbaiki kelemahan tersebut tidak seharusnya dilakukan dengan cara merosakkan keyakinan terhadap institusi sendiri. Lebih-lebih lagi apabila serangan dibuat tanpa asas kukuh dan tanpa penyelesaian tuntas, selain gesaan malas seperti menukar kepimpinan agensi.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah berpotensi membantutkan usaha pemulihan negara daripada legasi lama yang sarat dengan ketirisan, dan kelemahan institusi akibat campur tangan politik berlebihan. Proses pembetulan ini memerlukan kestabilan politik, kesabaran serta konsistensi dasar. Namun semua itu menjadi semakin sukar apabila wujud suara dalam kerajaan sendiri yang secara terbuka mencipta naratif kebencian terhadap agensi pentadbiran.

Dalam konteks ini, persoalan mengenai disiplin kepartian dan tanggungjawab kolektif wajar diketengahkan, termasuk peranan mekanisme dalaman seperti lembaga disiplin parti untuk mengurus perbezaan pandangan secara tertib dan saksama. Pengalaman politik lalu menunjukkan bahawa perbezaan pendirian lazimnya diurus melalui saluran dalaman, malah ramai pemimpin memilih untuk kekal berdisiplin walaupun berdepan kekalahan atau kekecewaan.

Kerajaan perpaduan yang wujud hari ini dibina atas asas kebersamaan, kepercayaan dan komitmen terhadap agenda nasional. Jika terdapat kelemahan atau penyelewengan, ruang perbincangan rasmi tersedia untuk membincangkan dan memperbetulkannya. Namun memilih untuk menyerang secara terbuka demi membina persepsi atau memenuhi kepentingan tertentu hanya akan mengelirukan rakyat serta melemahkan keseluruhan pentadbiran.

Apabila institusi digugat dari dalam, kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu atau agensi yang disasarkan, tetapi oleh keseluruhan kerajaan. Ia mencipta imej pentadbiran yang tidak sehaluan, gagal mengurus perbezaan secara matang dan akhirnya menjejaskan keyakinan rakyat. Sedangkan majoriti anggota pentadbiran hari ini sedang berusaha keras membetulkan kerosakan lama, memulihkan ekonomi dan memperkukuh integriti negara.

Serangan sebegini wajar dihentikan. Negara tidak mampu kembali kepada budaya politik yang membenarkan serangan terbuka tanpa memikirkan implikasi jangka panjang terhadap rakyat dan institusi. Jika ada pihak yang tidak lagi selari dengan agenda pembaikan nasional, jalan yang lebih bermaruah ialah memperbetulkan keadaan melalui saluran sepatutnya atau berundur secara terhormat, bukan menjadi musuh dalam selimut yang akhirnya menggadaikan masa depan negara.-UTUSAN

 

NOMY NOZWIR

Penulis Bebas & Pemerhati Kerajaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN