PETALING JAYA: Negara tidak seharusnya terperangkap dalam percaturan politik berpanjangan ketika pembangkang masih berdepan pergeseran dan pertelagahan dalaman.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, meskipun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif, rakyat terus menyaksikan pembangkang berbalah sesama sendiri tanpa hala tuju yang jelas.
“Hakikatnya, ekonomi negara kini memperlihatkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan, termasuk pengukuhan nilai ringgit, keyakinan pelabur yang semakin pulih serta kedudukan negara yang berada pada landasan lebih baik untuk mencipta lonjakan berbanding beberapa negara lain.
“Justeru, inilah masanya untuk kita memanfaatkan peluang ini dengan merangkul kekuatan nasional, merapatkan saf serta memberi dukungan padu kepada Perdana Menteri agar usaha memperkukuh ekonomi dan membina keyakinan dapat diteruskan tanpa gangguan politik yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Muhammad Kamil, langkah-langkah tegas yang diambil kerajaan kebelakangan ini turut mencerminkan kesungguhan politik yang kukuh dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh dan berintegriti.
Beliau berkata, tindakan tersebut bukan mudah kerana memerlukan ketegasan serta iltizam politik yang tinggi.
“Beberapa langkah mutakhir yang diambil melibatkan keputusan sukar, namun ia penting bagi memastikan tadbir urus yang berintegriti serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara terus diperkukuh,” katanya. – UTUSAN










