KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan akan menggunakan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menambah baik sistem dan tadbir urus melibatkan perolehan projek bagi memastikan rasuah dan salah guna kuasa tidak berulang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, itu antara penambahbaikan yang akan dilakukan secara berterusan pihaknya bagi memulihkan nama dan imej ATM bagi tempoh jangka masa panjang.
“Melalui usaha pendigitalan, kita akan tahu setiap peringkat sesuatu perolehan itu dibuat dan juga mengesan sama ada satu-satunya perolehan itu dimenangi atau diberikan kepada syarikat yang diketahui dimiliki individu sama atau tidak.
“Manakala melalui teknologi AI, kita dapat tahu sama ada sesuatu barang itu sesuai atau tidak, harganya lebih mahal atau tidak berbanding perolehan negara lain serta sikap dan kecenderungan seseorang yang diberi tanggungjawab soal perolehan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat Madani-Kementerian Pertahanan di Pantai Teluk Mahkota, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas berhubung lantikan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 berkuat kuasa mulai hari ini, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu yakin lantikan tersebut tepat.
“Beliau dilantik dalam keadaan dan suasana mencabar bagi ATM, tetapi tentunya tumpuan adalah untuk pulihkan imej dan reputasi ATM. Saya percaya ini boleh dilakukan sekiranya ada persefahaman dan kerjasama semua pihak, kementerian dan ATM.
“Saya, beliau dan juga barisan kepimpinan kementerian dan ATM lain komited memastikan wujudnya integriti dan tadbir urus yang baik, di samping mengekalkan kesiapsiagaan ATM bagi menjalankan sebarang operasi demi keselamatan dan pertahanan negara,” ujarnya.
Terdahulu, ATM menerusi satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan PAT baharu berkuatkuasa bermula hari ini. – UTUSAN










