GENEVA: Sekurang-kurangnya 170 orang awam terbunuh dalam lebih 400 serangan udara tentera di Myanmar sepanjang beberapa minggu menjelang pilihan raya yang mendapat kritikan meluas komuniti antarabangsa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pilihan raya tiga fasa selama sebulan di Myanmar yang berakhir pada Ahad, dikendalikan oleh tentera dan ditolak oleh pemerhati demokrasi sebagai usaha untuk menjenamakan semula pemerintahan tentera.
Pejabat hak asasi manusia PBB, yang sebelum ini mengecam pilihan raya itu memberi amaran ia gagal menghormati hak asasi manusia dan serangan tentera ke atas penduduk terus berlaku tanpa henti.
“Pilihan raya ini tidak menghentikan keganasan yang berterusan sepanjang 2025,” kata Ketua pasukan Myanmar di pejabat hak asasi manusia PBB, James Rodehaver kepada pemberita di Geneva.
Berucap dari Bangkok, beliau menekankan 2025 adalah tahun di mana lebih ramai orang awam maut akibat serangan udara berbanding mana-mana tahun sejak 2021, dan serangan udara terus berlaku walaupun pada hari pilihan raya.
PBB menyatakan, sumber yang boleh dipercayai mengesahkan sekurang-kurangnya 170 orang awam terbunuh dalam kira-kira 408 serangan udara tentera yang dilaporkan sepanjang tempoh pengundian, iaitu hampir dua bulan dari awal Disember.
Rodehaver memberi amaran angka itu mungkin meningkat, memandangkan pengesahan sukar kerana gangguan komunikasi dan ketakutan individu di beberapa lokasi untuk bercakap dengan wakil PBB.
Pejabat hak asasi manusia PBB merujuk laporan awal mengenai serangan udara tentera di kawasan berpenduduk tanpa kehadiran pejuang yang mengorbankan sehingga 50 orang awam di Bhamo Township, Negeri Kachin pada 22 Januari lalu.
Untuk mengekang sebarang penentangan, tentera turut menahan 324 lelaki dan 80 wanita di bawah undang-undang perlindungan pilihan raya yang digubal sendiri oleh tentera, termasuk kerana aktiviti kecil di media sosial.
Pejabat itu mengecam hukuman yang amat tidak seimbang, termasuk satu kes di mana hukuman 49 tahun penjara dikenakan kerana menyiarkan bahan antipilihan raya.
Lima tahun selepas rampasan kuasa junta Myanmar, Ketua Hak Asasi PBB, Volker Turk menekankan ramai penduduk memilih untuk mengundi atau tidak semata-mata kerana ketakutan, yang jelas bercanggah dengan hak sivil dan politik yang dijamin antarabangsa dan memberi kesan kepada hak ekonomi, sosial dan budaya mereka.
“Konflik dan ketegangan terus berlaku di banyak kawasan negara. Calon pembangkang dan beberapa kumpulan etnik diketepikan,” tambah beliau.
Pejabatnya menegaskan pilihan raya hanya diadakan di 263 daripada 330 kawasan pentadbiran, kebanyakannya di pusat bandar yang berada di bawah kawalan tentera, dan terhad di kawasan konflik.
“Akibatnya, sebahagian besar penduduk, terutamanya golongan terpinggir dan minoriti seperti etnik Rohingya, diketepikan,” katanya.
Paksaan untuk mengundi turut dilaporkan di seluruh negara. Dalam satu kejadian pada 6 Januari, lebih 100 penduduk kampung di wilayah Sagaing ditahan secara sewenang-wenangnya dan dipaksa mengundi awal, menurut pejabat hak asasi manusia.
“Sekarang, tentera berusaha mengekalkan kuasa melalui keganasan selepas memaksa rakyat ke pusat mengundi,” katanya.-AFP










