KETERJAMINAN makanan sering dikaitkan dengan pengeluaran pertanian, bekalan pasaran, dasar kerajaan dan perdagangan antarabangsa. Namun, usaha memastikan makanan mencukupi, selamat dan tidak dibazirkan turut bermula di rumah.
Cara setiap keluarga merancang pembelian, memilih bahan makanan, menyimpan bekalan dan mengurus lebihan hidangan memberi kesan kepada penggunaan sumber makanan.
Kepentingan amalan ini semakin ketara apabila negara berhadapan dengan perubahan cuaca, bencana alam dan gangguan rantaian bekalan.
Ketika musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut, hujan lebat dan banjir boleh menjejaskan pengedaran barangan serta akses pengguna kepada bekalan makanan. Oleh itu, setiap isi rumah perlu membuat persediaan secara bijak tanpa melakukan pembelian panik atau menyimpan makanan secara berlebihan.
Langkah pertama ialah merancang pembelian berdasarkan keperluan sebenar keluarga. Pengguna perlu mengambil kira bilangan ahli keluarga, corak pemakanan, keperluan kanak-kanak dan warga emas serta kemampuan kewangan.
Menyediakan senarai barangan dan memeriksa stok sedia ada sebelum keluar membeli-belah dapat mengelakkan pembelian berulang serta perbelanjaan tidak perlu.
Selain itu, makanan perlu disimpan mengikut jenis dan kesesuaian bagi mengekalkan kualiti serta keselamatannya. Bahan mentah, makanan kering dan hidangan yang telah dimasak memerlukan kaedah penyimpanan berbeza.
Pengguna juga perlu memberi perhatian kepada tarikh luput dan mengutamakan bahan yang mudah rosak. Lebihan makanan yang masih selamat dimakan boleh disimpan dengan betul untuk hidangan berikutnya.
Isu pembaziran makanan di Malaysia menunjukkan amalan ini masih perlu diperbaiki. Berdasarkan Siaran Khas Pembaziran Makanan Isi Rumah di Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pembaziran makanan isi rumah dianggarkan antara 31.9 hingga 97.3 kilogram per kapita setahun. Sebanyak 94.1 peratus isi rumah melaporkan pembuangan makanan yang telah diproses atau dimasak, manakala 88.7 peratus membuang makanan mentah.
Dapatan ini menunjukkan pembaziran bukan sahaja berlaku ketika membeli-belah, malah selepas makanan disediakan. Justeru, keluarga perlu memasak mengikut keperluan, merancang menu berdasarkan bahan sedia ada dan mengelakkan penyediaan hidangan secara berlebihan.
Dalam situasi bencana atau gangguan bekalan, pengguna juga perlu mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi. Khabar angin mengenai kekurangan barangan boleh mencetuskan pembelian panik, meningkatkan perbelanjaan dan menjejaskan peluang pengguna lain mendapatkan bekalan.
Pada masa sama, kerajaan, pengusaha industri dan peruncit perlu memastikan pengedaran makanan berjalan lancar, khususnya di kawasan yang mudah terjejas akibat banjir.
Keterjaminan makanan bermula daripada kebijaksanaan setiap keluarga mengurus bekalan. Perancangan pembelian dan pengurangan pembaziran bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan, malah membantu memastikan makanan mencukupi untuk semua. –UTUSAN
DR. NURUL FARDINI ZAKARIA
Pensyarah Kanan (Pemasaran),
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











