KUALA SELANGOR: Secara keseluruhan pengeluaran makanan melalui hasil pertanian di Lembah Buah-buahan Selangor (SFV) di Bestari Jaya, di sini melebihi 10 tan metrik.
Jumlah tersebut meliputi pengeluaran pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk ternakan lembu, kambing, ayam dan perusahaan kolam ikan sebagai sumber protein.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, nilai pengeluaran hasil pertanian SFV pada tahun lalu mencecah RM7 juta.
Katanya, ia menjadi sebahagian daripada usaha dilakukan oleh kerajaan negeri melalui anak syarikatnya untuk menyokong keterjaminan makanan di negeri ini.
“Untuk menyokong keterjaminan makanan, kita tidak menetapkan nilai, sebab kita ada kira-kira 1,000 hektar kawasan dan sasarannya adalah mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan pertanian.
“(Ini kerana) SFV menjadi pusat kepada aktiviti pertanian kerana di sini kita ada ladang ternakan ayam, lembu, kambing dan kolam ikan. Sebenarnya pengeluaran daging atau sumber protein memang khas di bawah Selagro Solutions Sdn. Bhd,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Fam Trip SFV Fun Agro Adventure di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi sumber protein, PKPS melalui SFV mempunyai 500 ekor lembu yang ditempatkan dekat ladang di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
“Kita juga ada 21 reban ayam dengan kadar pengeluaran pada setiap kitaran (dua bulan) mencecah 750,000 ekor. Justeru, kita bersedia membekal bagi keterjaminan makanan.
Mohamad Khairil berkata, menerusi hasil pengeluaran yang meliputi pelbagai sektor pertanian itu, jumlah tersebut menyumbang kepada penyimpanan gudang makanan yang mampu menampung keperluan bagi rakyat di negeri ini sehingga tiga bulan.
“Jika terjadi sesuatu yang menyebabkan terputus bekalan makanan daripada sumber import, rakyat Selangor ada masa bagi persediaan untuk tiga bulan jika terputus bekalan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan SFV turut meneroka pasaran bagi 27 tanaman nadir sebagai inisiatif pemuliharaan spesies tempatan yang semakin sukar ditemui seperti belimbing buluh, beruas, kandis, nona, sentol, keranji, kundang, tampoi, johor dan gaharu.
“Keseluruhan tanaman itu melibatkan kawasan sehingga dua hektar yang masih lagi dalam proses pembangunan. Pembangunan dan penyelidikannya dibuat melalui Pusat Kecemerlangan Pertanian (ACE) sejak dua tahun lalu.
“Untuk perancangan awal, kita sasarkan kepada penduduk tempatan di sini. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan bagi tanaman semula pokok menerusi tanaman nadir sebagai sebahagian daripada pemuliharaan hutan di kawasan yang diceroboh,” ujarnya. – UTUSAN










