HAMPIR setiap hari kita membaca berita mengenai kemalangan yang mengakibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa.
Namun, dalam perbincangan mengenai hukuman, nasib mangsa dan keluarga tidak wajar diketepikan. Bagi keluarga yang kehilangan pencari nafkah, hukuman terhadap pesalah tidak semestinya menyelesaikan beban yang ditanggung.
Mangsa yang mengalami kecederaan kekal pula mungkin berdepan kos rawatan, kehilangan pendapatan serta keperluan penjagaan dalam tempoh panjang.
Hukuman mempunyai fungsi penting untuk mempertanggungjawabkan pesalah dan mencegah kesalahan berulang.
Namun, keadilan terhadap mangsa memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh. Penjara tidak membayar kos rawatan, manakala denda kepada kerajaan tidak semestinya membantu keluarga yang kehilangan sumber pendapatan.
Justeru, mekanisme pampasan perlu diberikan perhatian.
Pampasan tidak mampu mengembalikan nyawa atau menghapuskan trauma tetapi dapat membantu menanggung kos rawatan, pemulihan, kehilangan pendapatan dan keperluan penjagaan.
Mekanisme tersebut perlu jelas, mudah diakses dan tidak membebankan mangsa dengan proses yang terlalu panjang.
Dalam tradisi perundangan Islam, konsep diyat menunjukkan kesan sesuatu kesalahan terhadap mangsa dan keluarga turut diberi perhatian.
Diyat tidak semestinya perlu dipindahkan secara langsung ke dalam sistem perundangan Malaysia yang mempunyai kerangka insurans, takaful dan pampasan tersendiri.
Namun, mangsa turut mempunyai hak untuk dibela boleh menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai keadilan.
Usaha memperkukuh mekanisme pampasan juga perlu melibatkan kerjasama kerajaan, mahkamah, agensi berkaitan serta industri insurans dan takaful.
Setiap tuntutan perlu dinilai berdasarkan fakta dan tahap tanggungjawab pihak yang terlibat bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Pampasan bukan bermaksud hukuman terhadap pesalah perlu dikurangkan. Kes yang melibatkan pemanduan berbahaya, kecuaian serius atau pengaruh alkohol dan dadah tetap memerlukan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Namun, keadilan tidak seharusnya diukur berdasarkan berat hukuman semata-mata. Sistem yang lebih menyeluruh perlu menggabungkan pencegahan, pertanggungjawaban, pampasan dan pemulihan.
Setiap kemalangan maut meninggalkan kesan panjang kepada keluarga. Undang-undang mungkin tidak mampu mengembalikan apa yang telah hilang, tetapi boleh memastikan mangsa tidak dilupakan.
Keadilan bukan sekadar memastikan pesalah dihukum, tetapi turut memastikan mangsa dan keluarga mendapat pembelaan yang sewajarnya. – UTUSAN
DR. SITI AISYAH SAMUDIN
Jabatan Syariah dan Undang-undang,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya











