MALAYSIA tidak pernah kekurangan usaha untuk menarik minat pelajar terhadap sains. Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertandingan inovasi, bengkel robotik dan demonstrasi eksperimen dianjurkan di pelbagai peringkat.
Namun, keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 membawa peringatan yang kurang menyenangkan: Keterujaan terhadap sains belum semestinya menjadi penguasaan.
Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), 54 peratus peserta Malaysia berumur 15 tahun mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam sains, berbanding 74 peratus purata OECD.
Pada aras ini, pelajar mampu mengenali penjelasan bagi fenomena lazim dan menilai kesimpulan mudah berdasarkan data. Ini bermakna hampir separuh peserta negara ini masih belum mencapai tahap asas berkenaan.
Angka tersebut tidak mengukur minat secara langsung. Ia juga tidak bermaksud program STEM gagal.
Namun, dapatan itu memaksa kita bertanya sama ada pelbagai usaha yang dijalankan benar-benar membawa pelajar daripada rasa ingin tahu kepada kefahaman.
Jumlah peserta dan kemeriahan acara menunjukkan jangkauan sesuatu program, tetapi belum menceritakan perkara yang dipelajari.
Masalah asas sering tersembunyi di sebalik jawapan yang kelihatan betul. Ada pelajar menghafal rumus tetapi keliru tentang unit ukuran. Ada yang mengenali istilah, namun sukar mentafsir graf atau memilih maklumat penting.
Pentaksiran seharusnya membantu guru mengesan cara murid berfikir, bukan sekadar merekod jawapan akhir. Kesilapan perlu menjadi petunjuk tentang konsep yang mesti diajar semula.
Dalam konteks Malaysia, persoalan ini berkait dengan kemampuan sistem pentaksiran mengesan murid yang mula tercicir.
Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak boleh terus dianggap punca kemerosotan hanya berdasarkan perubahan skor PISA.
Pada masa sama, pemansuhan itu tidak seharusnya menghalang penilaian terhadap keberkesanan kaedah yang menggantikannya.
Persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada pentaksiran semasa menghasilkan gambaran penguasaan yang konsisten antara sekolah.
Lebih penting, adakah kelemahan yang ditemukan disusuli pengajaran semula, maklum balas yang jelas dan bantuan kepada murid? Rekod pencapaian tidak membawa banyak makna jika hanya berakhir dalam borang atau fail.
Kurikulum Persekolahan 2027 memberi peluang untuk membetulkan keadaan ini. Pembaharuan tersebut perlu memastikan kandungan, pengajaran dan pentaksiran bergerak dalam arah yang sama.
Guru harus dibekalkan latihan untuk meneliti contoh jawapan murid, mengenal pasti salah konsep dan menentukan tindakan susulan. Mereka juga memerlukan masa, bahan yang sesuai serta sistem dokumentasi yang tidak membebankan.
Program STEM pula perlu mempunyai ukuran kejayaan yang melangkaui bilangan penyertaan.
Selepas sesuatu aktiviti, peserta boleh diminta menjelaskan apa yang difahami, menilai satu kesimpulan atau menggunakan konsep dalam situasi baharu.
Penilaian ringkas ini membolehkan sekolah melihat sama ada minat yang tercetus benar-benar membuka jalan kepada pembelajaran seterusnya.
Kurikulum baharu tidak boleh sekadar menukar kandungan atau istilah pentaksiran. Ia mesti memastikan kelemahan dikesan sebelum berubah menjadi keciciran berpanjangan.
Minat mungkin membawa pelajar masuk ke dunia sains, tetapi penguasaan menentukan sama ada ilmu itu dapat digunakan. Di situlah kejayaan sebenar pendidikan STEM harus diukur. – UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS
Fakulti Sains Gunaan UiTM










