PUTRAJAYA: Malaysia menunjukkan perkembangan yang menggalakkan menerusi Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 yang menyaksikan purata pencapaian dua domain iaitu Sains dan Bacaan merekodkan peningkatan.
Hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun sekali itu menunjukkan peningkatan dalam Sains kepada 419 mata iaitu peningkatan tiga mata dan Bacaan kepada 393 mata (lima mata meningkat) berbanding PISA 2022.
Bagaimanapun, bagi Matematik, pencapaian merekodkan 397 mata iaitu penurunan 11 mata sekali gus menunjukkan bidang tersebut perlu terus diberikan tumpuan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, semua pihak perlu tahu kedudukan dan sejauh mana anak-anak Malaysia mampu bersaing dengan rakan sebaya mereka di seluruh dunia.
“Pencapaian Sains anak-anak Malaysia meningkat. Pencapaian Bacaan juga meningkat, ketika purata OECD (Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi) sendiri menunjukkan penurunan. Ini kemajuan yang harus kita hargai.
“Pada masa yang sama, ada satu dapatan yang kita tidak boleh dan tidak akan sembunyikan. Pencapaian Matematik kita menurun. Dan penurunan ini bukan sesuatu yang kita boleh lihat sebagai perubahan dalam satu pusingan sahaja. Itu harus membuatkan kita melihat masalah ini dengan lebih serius, bukan dengan lebih defensif,” katanya ketika mengumumkan pencapaian Malaysia dalam PISA 2025, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, PISA menunjukkan kesediaan murid Malaysia mendapatkan bantuan apabila diperlukan adalah yang tertinggi di dunia, manakala kekentalan mereka untuk belajar berada pada kedudukan ketiga tertinggi di dunia.
Namun, menurut beliau, cabaran utama adalah untuk memastikan keupayaan tersebut benar-benar diterjemah kepada penguasaan Matematik yang lebih baik.
“Sebab itu Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik (RTPM) yang telah kita mulakan memberikan lebih banyak perhatian kepada
pemahaman konsep, penaakulan dan penyelesaian masalah. Kita tidak mahu Matematik menjadi perlumbaan mencari jawapan. Kita mahu Matematik melatih anak-anak mencari jalan kepada jawapan,” ujarnya.
Tambah Fadhlina, dalam penilaian yang dilaksanakan buat julung kali, Malaysia mencatatkan 484 mata menerusi Penyelesaian Masalah Komputasional dan merupakan antara enam negara yang pencapaiannya
melebihi jangkaan.
Jelasnya, Penyelesaian Masalah Komputasional ialah kebolehan anak-anak memecahkan masalah yang rumit kepada bahagian-bahagian kecil, mencari corak, memilih maklumat yang penting dan seterusnya menyusun langkah untuk menyelesaikannya.
“Apa yang menarik bagi saya bukan sekadar angkanya. Anak-anak kita sedang membesar pada zaman apabila jawapan kepada hampir semua
soalan boleh diperoleh dalam beberapa saat melalui enjin carian atau AI. Sebab itu tugas pendidikan tidak boleh berhenti pada memberikan jawapan.
“Apabila mesin semakin pandai memberikan jawapan, manusia mesti semakin pandai bertanya dan menilai. Kemahiran seperti inilah yang turut dibawa dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang kita lancarkan seiring dengan usaha menyediakan anak-anak untuk masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN








