SHAH ALAM: Mahasiswa perlu mengambil sikap berani mencuba dan merangsang kreativiti dalam meneroka keupayaan kecerdasan buatan (AI) dan menyemai budaya inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Justeru, peluang tersebut ditawarkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi penganjuran ‘InnoMelati 2.0: Amin & Abid – Innovators of The New Gen’.
Pengarah programnya, Nur Fatini Liyana dalam kenyataannya berkata, program tersebut dirangka khusus bagi memupuk minat, kemahiran serta pemikiran inovatif mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, sekali gus memberi pendedahan praktikal.
“Kelainan InnoMelati 2.0 dengan menampilkan pempengaruh dan ikon inovasi generasi muda, Amin & Abid, sebagai sumber inspirasi kepada mahasiswa.
“Pasangan kembar graduan UiTM itu dikenali menerusi kandungan kreatif dan inovatif, selain pencapaian mereka merangkul TikTok Awards Malaysia 2024 dan Anugerah Gempak Most Wanted Awards 2023,” katanya.
Tambahnya, penglibatan ikon inovasi muda bertujuan menyemai keberanian mencuba serta membangunkan idea kreatif yang berimpak dalam kalangan mahasiswa.
Sementara itu, penasihat program, Dr. Mohamad Hisyam memberitahu pendekatan sedemikian mampu merangsang kreativiti serta kefahaman mahasiswa terhadap aplikasi teknologi dalam dunia sebenar, sekali gus menyokong aspirasi UiTM melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.
Lebih 1,000 mahasiswa UiTM terlibat secara langsung dalam program berkenaan, mencerminkan sambutan positif terhadap inisiatif kampus berteraskan inovasi dan teknologi, sekali gus menyokong sasaran kerajaan melahirkan 60 peratus graduan dalam bidang STEM menjelang 2030.
Sepanjang hampir lima jam pelaksanaan, peserta didedahkan kepada seminar interaktif, aktiviti ‘Do-It-Yourself’ (DIY) serta projek kolaboratif yang menekankan penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan pemikiran aras tinggi berasaskan STEM dan AI.
Komitmen itu selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi yang memperuntukkan RM50 juta pada 2025 bagi memperluas pendidikan STEM dan AI di institusi pendidikan tinggi awam. – UTUSAN










