Gaji minimum RM3,100 bebankan pengusaha kecil dan sederhana

Gaji minimum RM3,100 bebankan pengusaha kecil dan sederhana

SETIAP kali gaji minimum naik, pihak pelanggan; kerajaan dan juga swasta akan meminta kontraktor mengekalkan harga kontrak dengan mengurangkan bilangan pekerja yang perlu dibekalkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tertarik dengan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa hampir 190,000 pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kini menikmati pendapatan sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan.

Perlu difahamkan bahawa GLC dan GLIC dipayungi oleh kerajaan. Jika berlaku kerugian, rakyat yang akan menanggung bebannya.

Bagi pihak swasta khususnya usahawan kecil dan sederhana, modal perniagaan dikeluarkan oleh pengusaha. Kadangkala terpaksa bergolok bergadai dan meminjam dari saudara mara untuk memulakan perniagaan yang dicita-citakan.

Bagi menjamin kemampanan perniagaan memerlukan keuntungan yang munasabah dari perniagaan yang diusahakan.

Jika berlaku kerugian akan ditanggung sendiri dan kebiasaannya menyebabkan perniagaan ditutup dan menanggung hutang.

Bagi menjelaskan impak kenaikan gaji RM3,100 ke atas usahawan kecil dan sederhana, saya mengambil contoh kontraktor pembersihan bangunan. Secara purata harga kontrak semasa berdasarkan seorang pekerja ialah RM2,700.

Peruntukan kos bagi seorang pekerja dianggarkan RM2,000 termasuk gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) serta peruntukan cuti tahun pekerja.

Baki RM700 adalah untuk lain-lain kos operasi seperti kos bahan kimia, perkakas dan peralatan, susut nilai mesin, perbelanjaan pengurusan dan untung kasar.

Sekiranya gaji pokok naik RM3,100, kos seorang pekerja akan meningkat RM3,657 termasuk caruman wajib dan peruntukan cuti tahun.

Pada masa yang sama, kos bahan kimia, perkakas dan peralatan akan naik disebabkan pembekal turut menanggung kenaikan gaji pekerjanya, perbelanjaan syarikat juga akan naik disebabkan gaji kakitangan pejabat, eksekutif dan pengurus akan naik.

Secara kasarnya, harga kontrak bagi seorang pekerja dijangka meningkat hampir RM5,000 seorang pekerja sebulan. Iaitu peningkatan harga kontrak sebanyak 80 peratus.

Adakah kerajaan dan swasta bersedia menampung kenaikan harga kontrak tersebut?

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak, yang turut menyokong kenaikan gaji minimum RM3,100 tanpa menyedari bahawa harga kontrak semasa di UiTM di bawah RM2,700 seorang pekerja.

Adakah UiTM sanggup menampung kenaikan harga kontrak pembersihan sehingga RM5,000 seorang pekerja?

Kebiasaannya setiap kali gaji minimum naik, pihak pelanggan; kerajaan dan juga swasta akan meminta kontraktor mengekalkan harga kontrak dengan mengurangkan bilangan pekerja yang perlu dibekalkan.

Pengurangan pekerja akan mengakibatkan kekerapan cucian terpaksa dikurangkan.

Pernah berlaku di sebuah universiti awam di selatan, pihak universiti mengarahkan supaya bilangan pekerja pencuci dikurangkan bagi mengurangkan harga kontrak pembersihan, dengan mengurangkan kekerapan kerja cucian.

Tandas yang biasanya dicuci tiga kali sehari dikurangkan kekerapan kepada tiga hari sekali. Cuba bayangkan keadaan tandas yang tidak dicuci selama tiga hari dengan penggunaan yang tinggi.

Saya bersetuju bahawa nasib pekerja perlu dibela bagi menampung kos sara hidup semasa. Namun perlukah majikan dan pengusaha kecil dan sederhana dimangsakan, terpaksa membayar gaji yang tinggi untuk pekerja dan kakitangannya?

Siapa yang akan membela kami, jika kami menanggung kerugian? – UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×