Setiap tahun, institusi pengajian tinggi (IPT) melahirkan puluhan ribu graduan, namun tidak semuanya berjaya memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada sistem pendidikan benar-benar memenuhi kehendak pasaran kerja atau sekadar menghasilkan lebih ramai pemegang ijazah.
Dalam usaha menangani isu tersebut, Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (PTJJ) sering diketengahkan sebagai pendekatan alternatif.
Dengan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel, PTJJ mampu meluaskan akses kepada pendidikan tinggi.
Statistik menunjukkan masalah ini masih membimbangkan. Pada 2022, daripada 53,257 graduan kejuruteraan, seramai 3,495 orang atau 6.22 peratus masih belum mendapat pekerjaan.
Sebelum itu, pada 2019, kira-kira 54,103 graduan dilaporkan menganggur, bersamaan 22.7 peratus daripada keseluruhan graduan. Bidang seperti perubatan, kimia dan sains makanan turut mencatatkan kadar pengangguran yang tinggi.
Punca utama bukan sekadar lebihan graduan, sebaliknya wujud ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki dengan keperluan industri.
Persekutuan Majikan Malaysia pernah melaporkan kira-kira 70 peratus graduan bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau kurang mahir kerana latihan akademik yang diterima tidak memenuhi keperluan sebenar majikan.
Dalam konteks ini, PTJJ menawarkan beberapa kelebihan. Fleksibiliti pembelajaran membolehkan individu menyambung pengajian tanpa meninggalkan kerjaya atau komitmen keluarga.
Bahkan, mereka dapat meningkatkan kelayakan dan kemahiran sambil terus bekerja, sekali gus mengurangkan risiko menjadi penganggur selepas menamatkan pengajian.
Program profesional seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara PTJJ membuktikan pembelajaran dan kerjaya boleh berjalan seiring.
Selain itu, PTJJ membantu mengurangkan kos pengajian kerana pelajar tidak perlu menanggung perbelanjaan penginapan dan pengangkutan. Ini menjadikan pendidikan tinggi lebih mampu diakses pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk meningkatkan kompetensi tanpa dibebani kos yang tinggi.
Lebih penting, PTJJ menyokong budaya pembelajaran sepanjang hayat. Dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah, pekerja perlu sentiasa menambah pengetahuan melalui kursus profesional, pensijilan atau program peningkatan kemahiran.
Pendekatan ini membolehkan tenaga kerja kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan kehendak industri.
Walau bagaimanapun, PTJJ bukan penyelesaian mutlak. Sebahagian majikan masih mempunyai persepsi yang berhati-hati terhadap graduan PTJJ, khususnya dalam bidang teknikal yang memerlukan latihan praktikal secara intensif.
Mereka juga membangkitkan kebimbangan terhadap tahap kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan yang sukar dipupuk sepenuhnya melalui pembelajaran dalam talian.
Selain itu, keberkesanan PTJJ bergantung pada akses kemudahan digital. Jurang internet dan kekurangan peranti di sesetengah kawasan luar bandar masih menjadi cabaran yang boleh menjejaskan pengalaman pembelajaran serta pencapaian pelajar.
Hakikatnya, ijazah jarak jauh bukan penyelesaian kepada masalah pengangguran jika hanya menambah bilangan graduan tanpa meningkatkan kualiti mereka. Sebaliknya, PTJJ perlu diperkukuh melalui kerjasama rapat antara universiti, industri serta penekanan terhadap kemahiran insaniah dan digital.
Dengan pelaksanaan yang tepat, PTJJ mampu menjadi pelengkap penting kepada sistem pendidikan tinggi negara. –UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan,
Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










