Projek akhir TVET jadi gajah putih?

Projek akhir TVET jadi gajah putih?

KEBANYAKAN pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menghasilkan prototaip berstandard industri, namun masih kurang keyakinan dan ilmu komersial untuk memasarkannya sebagai produk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun, ribuan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya menghasilkan pelbagai Projek Tahun Akhir (FYP) yang sangat kreatif.

Inovasi yang dihasilkan merangkumi pelbagai rekaan mesin industri, sistem automasi, aplikasi digital, sehinggalah kepada peralatan mekanikal yang canggih.

Realiti yang pahit untuk ditelan ialah sebahagian besar daripada hasil kerja keras itu akhirnya sekadar menjadi ‘gajah putih’ yang berhabuk di dalam stor makmal universiti.

Situasi ini merupakan kerugian yang sangat besar buat negara, terutamanya apabila kita sedang rancak memacu perancangan strategik masa depan.

Dalam landskap Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, fokus utama kini untuk melahirkan pencipta nilai ekonomi melalui pengkomersialan kemahiran.

Kita tidak boleh lagi membiarkan produk inovasi teknikal pelajar berakhir sekadar sebagai syarat wajib untuk mereka lulus peperiksaan dan menggenggam segulung ijazah.

Jurang antara ‘menghasilkan rekaan teknikal’ dan ‘belajar menjana pendapatan daripada rekaan tersebut’ mestilah dirapatkan dengan segera oleh institusi pengajian tinggi (IPT).

Cabaran terbesar adalah pada aspek pemikiran graduan yang masih belum melihat inovasi mereka sebagai aset perniagaan yang bernilai tinggi.

Kebanyakan pelajar TVET mampu melaksanakan kerja-kerja teknikal yang sangat rumit mengikut standard industri yang tinggi. Namun, mereka kekurangan keyakinan diri dan ilmu komersial untuk menukar prototaip tersebut menjadi sebuah produk jualan di pasaran terbuka.

Di sinilah peranan ekosistem pendidikan tinggi perlu dirombak semula agar tidak lagi melihat keusahawanan sebagai komponen sampingan sahaja.

Universiti awam mahupun institusi TVET tidak boleh lagi berfungsi sekadar sebagai kilang yang mencetak tenaga kerja untuk industri makan gaji sahaja. Sebaliknya, institusi pendidikan perlu bertindak proaktif sebagai inkubator dan pemecut yang membimbing usahawan teknologi (teknousahawan) baharu.

Projek Tahun Akhir pelajar sepatutnya tidak dihentikan setakat pembentangan viva tetapi perlu disambung ke fasa inkubasi perniagaan yang sistematik.

Melalui ekosistem digital hari ini, graduan sebenarnya boleh menguji pasaran produk mereka dengan modal yang sangat minimum menggunakan media sosial.

Mereka hanya memerlukan bimbingan mentor industri yang berpengalaman untuk memandu cara membina model perniagaan, penjenamaan dan strategi perlindungan harta intelek.

Jika rantaian sokongan ini disusun dengan kemas, produk FYP yang dahulunya terperangkap di makmal boleh menjelma sebagai syarikat pemula yang berdaya saing.

Usaha ini bukan sahaja menyelamatkan dana penyelidikan daripada membazir, malah melahirkan graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan baharu untuk masyarakat.

Masa depan ekonomi Malaysia memerlukan lebih ramai usahawan teknikal tempatan yang berani mengkomersialkan teknologi buatan sendiri ke peringkat global.

Langkah pertama perubahan ini harus bermula di makmal universiti dengan mengubah minda graduan daripada seorang pembuat barangan kepada seorang pemilik perniagaan.

Melalui keberanian untuk keluar dari zon selesa akademik, barulah produk inovasi TVET mampu melonjak menjadi pemacu utama ekonomi negara.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NAZIRAH MOHAMAD ABDULLAH
Pengarah,
Pusat Teknousahawan Universiti,
Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN