Pastikan murid selamat ke sekolah

Pastikan murid selamat ke sekolah

MURID kecil mudah terlindung dalam titik buta, terutama apabila berada terlalu dekat dengan bahagian hadapan, sisi atau belakang bas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI murid maut dilanggar bas sekolah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, pemandu dan pengusaha bas sekolah.

Kejadian sedemikian mengingatkan kita bahawa keselamatan pengangkutan murid merupakan satu rantaian yang bermula ketika kanak-kanak menaiki bas, berterusan sepanjang perjalanan dan ketika mereka turun, serta hanya berakhir selepas dipastikan tiada murid tertinggal di dalam kenderaan.

Dalam konteks Malaysia, operasi bas sekolah lazimnya melibatkan dua keadaan berbeza.

Pertama ialah lokasi berkelompok seperti sekolah, pusat transit, rumah pengasuh atau tempat yang digunakan oleh beberapa murid. Di lokasi sebegini, ramai kanak-kanak turun dan bergerak serentak. Ada yang mencari penjaga, mengikuti rakan atau berlari menuju ke pintu masuk.

Pemandu yang berada di tempat duduknya mungkin tidak dapat melihat semua pergerakan di sekeliling kenderaan.

Murid kecil mudah terlindung dalam titik buta, terutama apabila berada terlalu dekat dengan bahagian hadapan, sisi atau belakang bas. Apabila ramai murid turun serentak, pemerhatian melalui cermin sahaja mungkin tidak mencukupi.

Di Kanada, gabungan titik buta di sekeliling bas dikenali sebagai zon bahaya. Transport Canada menekankan kepentingan pelarasan sistem cermin yang betul supaya pemandu dapat melihat kanak-kanak yang berada dekat dengan kenderaan.

Walaupun reka bentuk bas sekolah di Kanada berbeza daripada kenderaan yang digunakan di Malaysia, prinsipnya tetap relevan, iaitu murid perlu berada di luar titik buta dan laluan pergerakan bas sebelum kenderaan bergerak.

Situasi kedua ialah penghantaran dari rumah ke rumah. Dalam keadaan ini, bas biasanya berhenti di hadapan atau berhampiran kediaman setiap murid.

Jalan perumahan mungkin sempit, dipenuhi kenderaan yang diparkir atau terletak berhampiran simpang dan selekoh. Ada juga keadaan bas perlu membelok sejurus selepas murid turun.

Ketika bas membelok, tayar belakang tidak melalui laluan yang sama dengan bahagian hadapan kenderaan. Murid yang kelihatan berada di tepi bas mungkin sebenarnya masih berada dalam laluan pergerakannya.

Selepas murid turun, pemandu masih perlu memastikan kanak-kanak telah menjauhi kenderaan dan bergerak ke arah pagar, kaki lima atau kawasan yang tidak dilalui bas.

Pada masa sama, perancangan laluan perlu menyediakan masa munasabah untuk murid naik dan turun. Jadual yang terlalu ketat boleh menyebabkan pemandu tertekan untuk bergerak segera atau mengejar masa.

Ketepatan jadual penting, tetapi tidak seharusnya mengatasi keselamatan.

Kanak-kanak juga perlu diajar rutin keselamatan yang mudah. Mereka tidak seharusnya berlari, bermain atau berpatah balik berhampiran bas.

Jika barang terjatuh di bawah atau berdekatan kenderaan, mereka perlu memaklumkan kepada pemandu dan tidak cuba mengambilnya sendiri.

Keselamatan murid bukan tanggungjawab pemandu semata-mata. Pengusaha perlu menyediakan kenderaan, laluan dan tatacara perjalanan yang selamat.

Ibu bapa perlu mematuhi aturan pengambilan dan penghantaran yang dipersetujui, manakala pihak sekolah, pusat transit dan pihak berkuasa perlu memastikan lokasi berkelompok diurus dengan teratur.

Setiap murid yang menaiki bas mesti dipastikan turun dengan selamat. Kita mungkin tidak dapat menghapuskan semua kesilapan manusia.

Namun, kerjasama yang jelas antara pengusaha, pemandu, ibu bapa dan pihak sekolah mampu menghalang satu kecuaian kecil daripada berakhir dengan kehilangan nyawa. – UTUSAN

IR. DR. NORDIANA MASHROS & IR. DR. NORHIDAYAH ABDUL HASSAN
Kumpulan Penyelidikan Turapan
dan Pengangkutan,
Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN