PENERBITAN Akaun Pindahan Negara (NTA) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 29 April, lalu membuka dimensi baharu dalam memahami corak kewangan rakyat sepanjang kitaran hayat.
Malaysia turut mencipta sejarah apabila menjadi jabatan perangkaan kebangsaan ketiga di dunia yang berjaya menghasilkan statistik ini selepas Korea Selatan dan Colombia.
NTA mengukur hubungan antara pendapatan buruh dan perbelanjaan mengikut umur. Berdasarkan data 2022, rakyat Malaysia secara purata mula mencatat lebihan ekonomi pada usia 29 tahun dan berakhir pada usia 55 tahun.
Lebihan ini mencapai kemuncaknya pada umur 44 tahun dengan nilai RM14,523 per kapita setahun. Sebelum usia 29 tahun dan selepas 55 tahun, perbelanjaan lazimnya melebihi pendapatan yang dijana.
Walaupun dapatan ini tidak menggambarkan keadaan setiap individu, namun memberikan petunjuk penting seseorang hanya mempunyai sekitar 26 tahun untuk membina kekuatan kewangan.
Tempoh inilah yang wajar dimanfaatkan untuk meningkatkan simpanan, membuat pelaburan dan merancang persaraan. Mereka yang menghampiri usia 44 tahun pula berada pada tahap paling produktif untuk mengukuhkan kedudukan kewangan jangka panjang.
NTA juga menjelaskan realiti kehidupan berkeluarga. Dari lahir hingga usia 28 tahun, termasuk ketika melanjutkan pelajaran, seseorang berada dalam fasa defisit apabila penggunaan melebihi pendapatan. Keadaan ini menjelaskan mengapa kos membesarkan anak menjadi cabaran utama bagi kebanyakan keluarga.
Selepas usia 55 tahun, defisit kembali berlaku apabila pendapatan berkurangan akibat persaraan dan faktor usia.
Dapatan ini mengesahkan keupayaan menjana lebihan ekonomi bukanlah sesuatu yang berkekalan. Apabila tempoh produktif berakhir, seseorang perlu bergantung pada simpanan, pelaburan dan aset yang dibina ketika usia bekerja.
Justeru, perancangan kewangan sejak awal menjadi semakin penting, terutama ketika ramai rakyat Malaysia masih belum mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
Pada masa sama, NTA turut membantu kerajaan merangka dasar awam yang lebih berasaskan bukti. Pengalaman Korea Selatan membuktikan data ini boleh dimanfaatkan untuk menilai semula dasar berkaitan warga emas dan perlindungan sosial.
Bagi Malaysia, NTA bukan sekadar himpunan statistik, sebaliknya panduan untuk memahami bilakah tempoh emas kewangan bermula, mencapai kemuncak dan berakhir. Kesedaran ini dapat membantu rakyat membuat keputusan yang lebih bijak dalam mengurus kewangan, merancang keluarga dan menyediakan kehidupan yang lebih sejahtera selepas persaraan. -UTUSAN
DR. AFRIZA HANI MOHD. SINON
Felo Penyelidik Kanan
Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN)










