LANDSKAP industri global hari ini tidak lagi bergantung kepada pengkhususan teknologi secara berasingan.
Dunia sedang melalui fasa perubahan besar menerusi kemunculan teknologi bersepadu, iaitu penyatuan pelbagai bidang teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, internet kebendaan (IoT) dan sains data.
Gabungan ini membentuk ekosistem pintar yang menghubungkan dunia fizikal dan digital, sekali gus mengubah cara industri beroperasi.
Dalam menghadapi era yang semakin kompleks dan penuh gangguan, agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara perlu bergerak melangkaui pendekatan tradisional.
TVET tidak lagi boleh beroperasi secara terasing, sebaliknya perlu berkembang mengikut keperluan industri semasa.
Langkah strategik menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 serta kerangka TVET Madani yang menekankan elemen daya cipta menjadi pemangkin penting dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan.
Namun, kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan. Evolusi TVET masa hadapan tidak boleh hanya menumpukan kepada penguasaan teknologi tetapi perlu menekankan aspek etika, tanggungjawab sosial dan maruah insan.
Kebimbangan terhadap teknologi yang menggantikan manusia perlu dilihat dari sudut yang lebih seimbang kerana teknologi seharusnya menjadi alat untuk memperkasakan keupayaan manusia, bukan menghapuskan peranan mereka.
Pendekatan ini selari dengan konsep Ekonomi Donut yang menekankan keseimbangan antara pembangunan manusia dan kelestarian alam.
Kemajuan industri perlu memastikan masyarakat tidak tercicir daripada peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik, pada masa sama aktiviti ekonomi tidak merosakkan sistem sokongan bumi. Melalui pendekatan ini, teknologi bersepadu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan industri yang lebih mampan.
Dalam konteks TVET, teknologi bersepadu membuka ruang kepada pelatih menguasai sistem digital yang lebih pintar, termasuk keupayaan mengurus automasi, penderia pintar dan simulasi digital.
Penguasaan teknologi ini membolehkan mereka memahami keperluan industri secara lebih menyeluruh serta membuat keputusan berdasarkan data yang tepat.
Transformasi kurikulum TVET yang fleksibel dan dinamik juga penting bagi melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dari aspek teknikal tetapi mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Graduan TVET masa depan perlu muncul sebagai pekerja pintar yang memahami hubungan antara kemajuan industri, inovasi dan kelestarian.
Selain itu, pengantarabangsaan TVET serta agenda Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Bertanggungjawab (RDICE) perlu diperkukuh bagi meningkatkan daya saing negara.
Melalui kerjasama industri dan jaringan antarabangsa, TVET Malaysia berpotensi berkembang sebagai pusat kecemerlangan teknologi serta melahirkan bakat yang mampu membawa inovasi tempatan ke peringkat global. –UTUSAN
DR. MUHAMMAD RIDZUAN IDRIS
Pusat Konvergensi Teknologi
dan Kemanusiaan (C-TeCH)
Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak










