Ketengah juga ulama selain Sheikh Yusuf al-Qaradawi

Ketengah juga ulama selain Sheikh Yusuf al-Qaradawi

DALAM dunia pemikiran Islam masih terdapat ramai lagi tokoh ulama yang tidak kurang hebatnya jika dibanding dengan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI saat masyarakat sedang riuh membahas isu bidaah dan sunnah serta pertikaian tentang isu kaum Wahabi-Salafi yang kontroversial, mengapa tidak pula cuba mempromosikan tokoh ilmuan lain yang wibawanya tidak kurang hebatnya?

Mengapa tidak diadakan seminar tentang tokoh-tokoh ilmuan sezaman yang sering membicarakan soal isu kontroversial ini? Ini supaya masyarakat tidak hanya kenal Sheikh Yusuf al-Qaradawi seorang sahaja. Sedangkan dalam dunia pemikiran

Islam masih terdapat ramai lagi tokoh ulama yang tidak kurang hebatnya jika dibanding dengan Sheikh Yusuf. Terutama ulama yang menonjol dalam soal perbahasan isu kaum Wahabi-Salafi dengan kaum Khalafi.

Misalnya Sheikh Said Ramadan Al-Buty. Beliau seorang tokoh ulama yang sangat dedikasi dalam usaha untuk meleraikan isu pertembungan aliran Wahabi-Salafi dengan aliran tradisional (khalafi). Menerusi dua buah karyanya iaitu; Al-Salafiyyah Marhalah Zamaniyah Mubarakah La Mazhab Islami (The Salafiyya Is A Blessed Historical Period, Not An Islamic School) dan Al-La Mazhabiyyah (Non-Mazhabism: The Greatest Bid’ah Threatening the Islamic Shari’ah) sudah cukup membuktikan betapa beliau sangat prihatin untuk memberi jalan keluar agar umat Islam tidak selama diselubungi kedangkalan berhubung isu ini.

Dua buah karya berkenaan sangat wajar dikupas dan diwacanakan agar kekeliruan minda tentang Wahabi-Salafi dalam kalangan masyarakat awam dapat dileraikan.

Sisi-sisi dimensi pemikiran Sheikh Said Ramadan Al-Buty ini sangat wajar diwacanakan dalam usaha membantu mencerahkan kekusutan dan kedangkalan minda umat Islam dalam isu bidaah, syirik, khurafat dan seumpamanya.

Institusi pengajian tinggi (IPT) serta badan dakwah dan kependidikan adalah sangat wajar jika turut memberi penjelasan tentang isu-isu yang menghantui pemikiran umat Islam dewasa ini. Agar ia tidak selamanya diselubungi kepandiran intelektual dan terkapai-kapai lemas dalam polemik keagamaan yang berlarutan.

Masyarakat dahagakan suatu dimensi yang baharu yang lebih segar dan sekali gus mampu menawarkan solusi terbaik dalam menangani isu Wahabi-Salafi dengan Khalafi supaya kekeliruan dan soal bid’ah dan sunnah dapat dileraikan.

Dalam saat ketegangan pemikiran keagamaan seperti sekarang ini, amat jarang benar pemikiran Sheikh Said Ramadan Al-Buty diwacanakan atau diketengahkan untuk pengetahuan masyarakat awam.

Maka itulah harapan saya dan sebahagian pencinta ilmu yang lain agar pemikiran Sheikh Said Ramadan Al-Buty diketengahkan kepada khalayak dalam usaha untuk menyingkapkan hikmah keilmuan. – UTUSAN

ABDUL MALIK LUAR
Penulis bebas Selatan Thailand

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN