KECERDASAN buatan (AI) bukan lagi sekadar teknologi masa depan, sebaliknya menjadi pemacu utama transformasi ekonomi dan pentadbiran negara.
Seiring hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan peneraju digital serantau menjelang 2030, kerajaan memperkukuh agenda AI menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026.
Di bawah RMK13, AI dikenal pasti sebagai pemangkin utama peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi yang dipacu teknologi, inovasi dan produktiviti. Matlamatnya bukan sekadar menggunakan teknologi luar tetapi membangunkan keupayaan tempatan yang mampu memenuhi keperluan negara.
Selari dengan itu, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2 bilion bagi pembangunan Sovereign AI Cloud, sekali gus memperkukuh infrastruktur digital, melindungi data strategik dan meningkatkan daya saing ekonomi.
Dalam sektor awam, AI mampu mempercepat proses membuat keputusan melalui analisis data yang lebih pantas dan tepat.
Teknologi ini boleh membantu mengesan ketirisan, menambah baik tadbir urus, mengautomasikan tugasan rutin serta membolehkan penjawat awam memberi tumpuan kepada penyediaan dasar dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Namun, kejayaan AI tidak hanya bergantung kepada teknologi. Malaysia masih berdepan kekurangan bakat dalam bidang AI, analitik data dan keselamatan siber. Justeru, latihan semula serta peningkatan kemahiran digital perlu diperluas kepada pekerja, penjawat awam, usahawan dan pelajar agar mereka bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Pada masa sama, jurang digital antara bandar dan luar bandar serta antara syarikat besar dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dirapatkan. Jika tidak, manfaat AI hanya akan dinikmati segelintir pihak.
Seiring perkembangan global, Malaysia juga perlu memastikan pembangunan AI berteraskan etika, ketelusan dan akauntabiliti seperti yang digariskan dalam Prinsip AI Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Dengan pendekatan yang inklusif dan beretika, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna teknologi, malah berpotensi muncul sebagai pencipta inovasi AI di rantau ini. –UTUSAN
DR. WAN FARISAN WAN SULAIMAN
Ketua Pusat,
Pusat Pengajian Ekonomi dan Kewangan Awam
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)










