KITA baru sahaja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Dua minggu lagi, berdepan pula PRN Negeri Sembilan dan seterusnya Melaka. Jentera setiap parti politik semakin rancak turun padang dan menggerakkan kempen bagi meraih sokongan pengundi.
Kempen dijalankan melalui pelbagai pendekatan, sama ada secara bersemuka dengan masyarakat mahupun menerusi media sosial yang kini menjadi medium utama penyebaran maklumat.
Namun, dalam keghairahan berkempen, masih terdapat segelintir pihak yang menyimpang daripada panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Tumpuan terhadap penyampaian manifesto dan tawaran kepada rakyat semakin tenggelam apabila sebahagian pihak lebih gemar menyerang peribadi lawan, menyebarkan tuduhan tidak berasas serta menormalisasikan budaya fitnah demi meraih kelebihan politik.
Malah, ada yang sanggup mencipta naratif palsu semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti pihak yang berbeza pendirian.
Perbuatan sedemikian jelas bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa menuntut umatnya berpegang teguh pada kebenaran serta menjauhi fitnah yang mampu merosakkan kepercayaan masyarakat.
Oleh itu, setiap lapisan masyarakat, khususnya calon pilihan raya, jentera parti dan penyokong politik, perlu menjadikan pesanan Rasulullah sebagai panduan dalam berkempen.
Kebebasan bersuara memang penting dalam menyatakan pandangan dan pendirian, namun kebebasan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk memfitnah atau menyebarkan maklumat yang tidak benar.
Seorang Muslim wajib mempertahankan kebenaran serta menjauhkan diri daripada segala bentuk fitnah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Rasulullah SAW turut menegaskan kepentingan menjaga lisan dalam kehidupan seorang Muslim. Daripada Sahl bin Sa’ad, Baginda bersabda: “Sesiapa yang dapat menjamin untukku apa yang berada di antara dua tulang dagunya (lidah) dan apa yang berada di antara dua pahanya (kemaluan), maka aku menjamin syurga untuknya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Prinsip ini turut terpakai dalam dunia politik. Mereka yang menyebarkan tuduhan tanpa bukti atau menghasilkan kandungan berunsur fitnah di media sosial tetap terikat dengan peringatan hadis ini walaupun penyebaran tersebut tidak berlaku secara lisan.
Inti pati hadis berkenaan ialah menahan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan keburukan kepada orang lain. Oleh itu, calon pilihan raya dan jentera parti sewajarnya mengamalkan politik yang matang dengan mengetengahkan manifesto, dasar dan tawaran yang memberi manfaat kepada rakyat, bukannya menjadikan pembunuhan karakter sebagai strategi kempen.
Dalam masa sama, pengundi juga memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan maklumat yang diterima disemak sebelum disebarkan.
Pengundi yang matang bukan sahaja menilai manifesto dan latar belakang calon, malah meneliti setiap maklumat yang diterima agar tidak menjadi ejen penyebar fitnah yang akhirnya merosakkan keharmonian masyarakat.
Pada masa sama, setiap calon yang menawarkan diri untuk memimpin perlu menyedari kepimpinan ialah amanah yang amat besar.
Oleh itu, setiap pemimpin yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, membawa suara rakyat serta mengutamakan kepentingan masyarakat.
Amanah yang diabaikan bukan sahaja mengkhianati kepercayaan rakyat, malah menjadi penyesalan yang besar pada hari akhirat. –UTUSAN
DR. JULIYANA JUNAIDI
Pensyarah,
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










