Jihad bukan alasan untuk keganasan

Jihad bukan alasan untuk keganasan

TINDAKAN kumpulan atau individu yang melakukan keganasan, membunuh orang awam yang tidak berdosa serta memusnahkan harta benda secara sewenang-wenangnya merupakan kezaliman yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AJARAN Islam tidak pernah mengiktiraf keganasan sebagai satu jalan perjuangan. Malah, konsep jihad yang sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak sama sekali tidak membawa maksud keganasan atau tindakan melampau.

Dari sudut bahasa, jihad berasal daripada perkataan Arab jahada yang bermaksud berusaha bersungguh-sungguh serta mengerahkan segala kemampuan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Dalam pengertian syarak, jihad merujuk kepada pengorbanan diri, harta dan tenaga untuk menegakkan syiar Islam, mempertahankan kebenaran serta memperoleh keredaan Allah SWT. Salah satu bentuk jihad ialah jihad qital, iaitu perjuangan bersenjata bagi mempertahankan agama, nyawa, negara dan umat Islam daripada ancaman pencerobohan atau kezaliman.

Namun, jihad ini mempunyai syarat, batasan, etika dan peraturan yang ketat, bukannya tindakan bebas tanpa kawalan.

Hakikatnya, medan jihad dalam kehidupan umat Islam jauh lebih luas. Antaranya ialah jihad melawan hawa nafsu (mujahadah al-nafs) dengan mendidik diri supaya taat kepada perintah Allah SWT, menjauhi kemaksiatan serta bersabar menghadapi cabaran kehidupan.

Umat Islam juga dituntut berjihad melawan godaan syaitan, menuntut ilmu, melaksanakan dakwah, memperkukuh ekonomi, membantu masyarakat serta membanteras kejahilan dan kemiskinan.

Oleh itu, tindakan kumpulan atau individu yang melakukan keganasan, membunuh orang awam yang tidak berdosa serta memusnahkan harta benda secara sewenang-wenangnya bukanlah jihad. Sebaliknya, perbuatan tersebut merupakan kezaliman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Allah SWT menegaskan bahawa Dia tidak menyukai golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi seperti firman-Nya dalam Surah al-Qasas ayat 77.

Begitu juga tindakan serangan berani mati yang mengorbankan nyawa manusia awam bukanlah satu bentuk perjuangan agama. Islam melarang pembunuhan tanpa hak kerana nyawa manusia mempunyai nilai yang sangat tinggi.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 32 menjelaskan bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang dibenarkan, seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.

Jelas bahawa keganasan tidak mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Fenomena tersebut lebih berpunca daripada faktor sosial seperti ketidakadilan, penindasan, manipulasi politik serta kejahilan terhadap agama.

Kumpulan seperti Islamic State (IS), yang mendakwa memperjuangkan Islam, sebenarnya menyimpang daripada prinsip asas agama yang menekankan keamanan, keadilan dan belas kasihan.

Selepas tragedi 11 September 2001, Islam sering dikaitkan dengan keganasan. Persepsi sedemikian perlu diperbetulkan kerana tindakan segelintir kelompok ekstremis tidak boleh mewakili keseluruhan ajaran Islam.

Hubungan antara dunia Islam dan Barat seharusnya dibina melalui dialog peradaban, persefahaman serta usaha bersama menentang ekstremisme.

Dalam konteks Malaysia, usaha membanteras fahaman ekstremis dan ajaran sesat perlu diperkukuh melalui pendekatan undang-undang yang berkesan. Ancaman ekstremisme bukan sahaja melibatkan isu agama tetapi turut berkait dengan keselamatan, perpaduan kaum dan keharmonian negara.

Tindakan pencegahan mesti dilaksanakan secara adil tanpa menuding kepada mana-mana kaum atau agama tertentu.

Ekstremisme boleh muncul dalam pelbagai kelompok masyarakat, justeru pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan keadilan amat penting bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN