KEMALANGAN yang membabitkan sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya Pantai Timur baru-baru ini mengingatkan kita bahawa setiap insiden bukan sekadar satu berita tetapi peluang untuk memahami bagaimana kemalangan berlaku dan bagaimana boleh dicegah.
Hakikatnya, faktor yang membawa kepada kemalangan mula terbentuk beberapa saat sebelum pelanggaran berlaku. Jarak yang terlalu rapat, kelajuan yang tidak bersesuaian dengan keadaan, kegagalan menjangka perubahan di hadapan atau kelewatan bertindak balas menyebabkan ruang untuk mengelak semakin berkurangan. Apabila ruang itu hilang, satu kesilapan kecil boleh berkembang menjadi pelanggaran berantai.
Sebab itulah menjaga jarak tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai keperluan mematuhi undang-undang. Jarak sebenarnya memberikan ruang untuk berfikir, menilai risiko dan membuat keputusan apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Beberapa saat tambahan itulah yang membezakan antara kemalangan yang dapat dielakkan dengan kejadian yang membawa akibat lebih buruk.
Pengguna lazimnya cenderung mengikut rentak kenderaan di hadapan. Ini menyebabkan perhatian lebih tertumpu kepada pergerakan kenderaan di hadapan berbanding keadaan sebenar di sekeliling. Apabila seorang bertindak secara mengejut, pengguna lain mempunyai masa yang jauh lebih singkat untuk bertindak balas.
Ia menunjukkan pemandu memerlukan disiplin yang lebih tinggi, komunikasi yang jelas dan pertimbangan yang baik serta keperluan menjaga jarak, mematuhi had laju atau membuat keputusan mengikut keadaan sebenar di jalan raya.
Melakukan kesilapan menjadi asas kepada pendekatan Sistem Keselamatan yang diketengahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pendekatan ini mengiktiraf kesilapan manusia tidak dapat dielakkan. Prinsip ini membawa satu mesej iaitu sentiasa sediakan ruang untuk membetulkan kesilapan, sama ada daripada diri sendiri atau pengguna lain.
Justeru, usaha meningkatkan keselamatan tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan dan penambahbaikan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu disertai perubahan sikap dan tingkah laku semua pengguna jalan raya.
Disiplin di jalan raya bukan sekadar soal mematuhi peraturan atau mengelakkan saman. Disiplin ialah kebijaksanaan menyediakan ruang dan masa untuk membuat keputusan yang betul sebelum berlakunya kecemasan. Kemalangan mungkin berlaku dalam beberapa saat, namun, setiap pengguna mempunyai pilihan untuk mengurangkan risikonya. –UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS
Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










