SAYA sebagai penduduk Desa Perwira di Ipoh, Perak bimbang dengan keadaan satu lot tanah tidak berpenghuni terletak di persimpangan Persiaran Hillview dan Jalan Raja Musa Mahadi.
Rumput dan belukar yang tumbuh terbiar hingga melepasi paras tinggi manusia dewasa sejak setahun lalu menjadikannya kini umpama sebuah ‘hutan mini.’
Paling saya khuatir adalah ia boleh menjadi lokasi persembunyian mereka yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah seperti pecah rumah, mencuri atau merompak.
Selain itu, penemuan haiwan berbisa seperti anak ular di halaman rumah saya juga boleh mengancam nyawa penduduk.
Saya pernah membuat laporan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), malangnya mereka menyuruh saya menyediakan nombor lot tanah tersebut sebelum boleh diambil tindakan lanjut.
Prosedur berkenaan saya anggap tidak munasabah berikutan saya perlu mendapatkan nombor lot tersebut daripada Pejabat Tanah dan Daerah pula.
Sehubungan itu, saya amat berharap pihak berkuasa terlibat dapat mengambil tindakan segera demi keselamatan penduduk. – UTUSAN
PEMBAYAR CUKAI RISAU
Desa Perwira







