WALAUPUN data ekonomi negara menunjukkan angka yang positif tetapi persepsi rakyat sering kali didorong oleh naratif politik yang berbeza. Dikatakan angka dan data tidak menggambarkan keadaan ekonomi semasa. Andaian inilah menjadikan orang ramai mentafsir ekonomi dengan nada berbeza. Itulah irama yang sering kali dimainkan setiap kali pilihan raya diadakan.
Di dada akhbar kerajaan mungkin mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang pesat sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, melepasi jangkaan penganalisis. Namun, apabila seorang bapa pergi ke pasar, dia mendapati harga beberapa barangan keperluan meningkat sedikit. Menjadikan angka 5.8 peratus itu serta-merta hilang nilainya. Maka tercetuslah di dalam minda pengundi, realiti ekonomi ialah ‘kehidupan semakin sukar.’
Sentimen inilah yang bertindak sebagai pemangkin kepada kebangkitan gelombang pengundi. Bagi rakyat biasa, angka statistik di atas kertas tidak menggambarkan isi dompet harian mereka. Andaian inilah yang menyebabkan orang ramai mentafsir keadaan ekonomi dengan nada negatif dan inilah yang sering kali dimanfaat serta dimainkan secara agresif setiap kali musim pilihan raya.
Apabila naratif ini diulang secara konsisten melalui video pendek dan hantaran tular, ia membentuk persepsi kolektif bahawa kerajaan sedia ada gagal. Sentimen emosi inilah yang akhirnya bertindak sebagai pemangkin utama kepada pembentukan gelombang pengundi.
Kerajaan melalui beberapa agensi dibawahnya perlu digerakkan dengan lebih pantas dan efisien. Melalui saluran media sosial, kempen berterusan di samping memberi kefahaman yang direka bentuk secara strategik, mampu menceritakan dengan lebih jelas tentang sesuatu isu. Media sosial dapat bertindak sebagai penguat yang menterjemahkan isu kompleks kepada bentuk emosi yang mudah dicernakan. Penyediaan trek rekod pencapaian yang nyata dan kreatif juga dilihat mampu mendekatkan pengundi menjadi rasional dan menjadi pengundian berasaskan prestasi.
Antara cabaran terbesar dalam pentadbiran moden ialah jurang antara indikator ekonomi makro dengan persepsi realiti di peringkat bawahan. Melalui saluran media sosial dan kempen maklumat berstruktur, agenda penerangan berterusan dilihat mampu membingkaikan sesuatu isu dengan begitu berkesan.
Keputusan pilihan raya tidak lagi dimenangi hanya dengan membentangkan helaian fakta atau lembaran buku akaun kerajaan. Sebaliknya, perlu memenangi hati pengundi di gelanggang persepsi.
Tidak dinafikan kestabilan dan tatakelola ekonomi yang baik kekal sebagai asas penting tetapi keupayaan membina naratif yang berkesan sehingga menyentuh realiti kehidupan rakyat dapat menjadi penentu di peti undi.
Ini akan menjadi pengukur sama ada sesebuah parti mampu mempertahankan kuasa atau hanyut ditelan gelombang perubahan.
Semua pemerintah tidak mahu menjadi sebuah kerajaan yang mempunyai prestasi ekonomi yang baik tetapi gagal mengurus naratif politik. Kesannya jelas, mereka berisiko tewas kepada sentimen perubahan. Begitu juga naratif yang kuat tanpa asas ekonomi kukuh akhirnya rapuh apabila berdepan realiti kehidupan harian.
Keputusan pilihan raya merupakan hasil daripada pertemuan antara rekod pencapaian nyata dan persepsi awam. Kestabilan politik serta tatakelola ekonomi yang cekap membenarkan negara berkembang tetapi sentimen dan naratif menentukan bagaimana perkembangan itu dirasai dan dinilai rakyat. Oleh itu, keupayaan menyelaraskan rekod prestasi dengan naratif yang empati merupakan teras kejayaan dalam amalan demokrasi moden. –UTUSAN
ZAMRI PRK
Pusat ASASI UIAM Gambang










