JIKA diteliti khusus di universiti awam, jumlah enrolmen ialah 634,706 pelajar, dengan 56,565 orang (8.9 peratus) terdiri daripada pelajar antarabangsa, manakala 578,141 orang (91.1 peratus) ialah pelajar tempatan.
Statistik ini menunjukkan bahawa pelajar tempatan masih merupakan majoriti yang jelas di universiti awam negara.
Bagi program prasiswazah, seramai 502,212 orang (96.56 peratus) ialah pelajar tempatan, manakala hanya 17,893 orang (3.44 peratus) merupakan pelajar antarabangsa.
Sebaliknya, pada peringkat pascasiswazah, pelajar antarabangsa berjumlah 38,672 orang, iaitu 33.74 peratus daripada keseluruhan enrolmen pascasiswazah.
Ini bermaksud majoriti pelajar antarabangsa sebenarnya mengikuti pengajian sarjana dan doktor falsafah (PhD), bukannya bersaing secara langsung dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi atau diploma bagi tempat di peringkat ijazah pertama.
Di lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 145,727 orang (78 peratus) merupakan pelajar tempatan dan 41,097 orang (22 peratus) pelajar antarabangsa.
Namun, daripada keseluruhan pelajar antarabangsa itu, 68.5 peratus berada di peringkat pascasiswazah, sejajar dengan fungsi universiti penyelidikan yang memberi penekanan kepada penyelidikan, inovasi dan jaringan akademik antarabangsa.
Kementerian Pendidikan Tinggi turut menjelaskan bahawa pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di Malaysia membayar yuran penuh tanpa subsidi kerajaan, memenuhi syarat akademik yang ditetapkan serta melalui proses saringan universiti.
Kehadiran mereka bukan sahaja menyumbang kepada pengukuhan kewangan universiti, malah membantu memperluas kerjasama penyelidikan, meningkatkan penerbitan berimpak tinggi dan menyokong kedudukan universiti Malaysia dalam penarafan antarabangsa seperti QS World University Rankings.
Walau bagaimanapun, persepsi masyarakat tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Ramai ibu bapa dan pelajar tempatan melihat peningkatan bilangan pelajar antarabangsa di kampus sebagai petunjuk bahawa peluang untuk anak tempatan semakin mengecil.
Persepsi ini menjadi lebih ketara apabila program berpermintaan tinggi seperti perubatan, pergigian, farmasi, undang-undang dan kejuruteraan mempunyai kapasiti yang terhad serta persaingan kemasukan yang sangat sengit.
Hakikatnya, isu sebenar mungkin bukanlah bilangan pelajar antarabangsa semata-mata, tetapi sejauh mana kapasiti universiti berkembang seiring dengan peningkatan permintaan pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sekiranya kapasiti, kemudahan dan tenaga akademik dapat dipertingkatkan, agenda pengantarabangsaan dan akses pendidikan untuk pelajar tempatan tidak seharusnya dilihat sebagai dua matlamat yang saling bercanggah.
Dalam konteks global, hampir semua negara yang bercita-cita menjadi hab pendidikan antarabangsa seperti Australia, United Kingdom, Kanada dan Singapura turut bergantung kepada kemasukan pelajar antarabangsa bagi memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikan. Malaysia juga sedang bergerak ke arah yang sama melalui agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Data rasmi menunjukkan bahawa pelajar tempatan masih mendominasi enrolmen di universiti awam, khususnya pada peringkat prasiswazah.
Namun begitu, kerajaan dan universiti perlu terus meningkatkan ketelusan dalam dasar pengambilan pelajar serta memastikan kapasiti pendidikan tinggi negara berkembang seiring dengan permintaan rakyat.
Hanya dengan pendekatan yang seimbang, Malaysia mampu mengekalkan daya saing sebagai hab pendidikan antarabangsa tanpa mengabaikan hak dan kepentingan pelajar tempatan. – UTUSAN
DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pusat Pengajian Pendidikan
Universiti Utara Malaysia










