Beri peruntukan pada universiti baharu

Beri peruntukan pada universiti baharu

KERAJAAN perlu menyalurkan lebih banyak peruntukan kewangan kepada universiti-universiti yang baru bertapak di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH sampai masanya pihak kerajaan mengambil pendekatan baharu dalam menyalurkan peruntukan kewangan kepada semua universiti dan institusi pendidikan tinggi (IPT) melalui peruntukan belanjawan yang bakal dibentangkan hujung tahun ini.

Buat sekian lama, peruntukan kewangan banyak disalurkan kepada universiti dan IPT yang sudah lama bertapak di negara ini, yang mempunyai dana kewangan yang besar serta ranking dan tahap prestasi yang baik sama ada di peringkat kebangsaan, serantau atau antarabangsa.

Justeru, kerajaan perlu mengambil satu pendekatan baharu dan berlainan dalam soal pengagihan peruntukan kewangan yang disalurkan kepada semua universiti dan IPT yang ada dalam negara kita dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan kewangan kepada universiti-universiti yang baru bertapak serta yang tidak memiliki ranking atau yang belum mencapai prestasi yang baik dalam senarai universiti terbaik di peringkat kebangsaan, serantau ataupun antarabangsa.

Kebanyakan universiti ini bukan kerana mereka adalah sebuah institusi pengajian yang tidak baik tetapi kebanyakan daripada mereka adalah universiti atau IPT yang baru bertapak dalam negara kita.

Sebagai sebuah universiti yang baru bertapak, sudah pasti mereka tidak memiliki peruntukan dana yang mencukupi bagi menampung proses kajian dan penyelidikan (R&D) yang merupakan syarat penting untuk menjadi sebuah universiti terbaik di peringkat serantau atau antarabangsa.

Universiti-universiti ini juga tidak memiliki segala kemudahan asas atau logistik untuk proses pengajaran dan pembelajaran sama berbanding dengan universiti-universiti dan IPT yang sudah bertahun-tahun lama wujud dalam negara kita.

Mereka tidak memiliki bilangan tenaga pakar atau profesor yang mencukupi bagi membantu universiti dan IPT mereka mengumpul dana kewangan sendiri dengan banyak.

Ini amat berbeza dengan universiti-universiti yang sudah lama wujud dalam negara kita. Mereka mempunyai dana yang cukup untuk menampung segala proses R&D yang mereka ingin jalankan.

Mereka juga selalunya sudah memiliki segala kemudahan logistik yang dapat membantu mereka melakukan proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik.

Mereka juga sudah memiliki banyak tenaga pakar yang bertaraf profesor yang dapat membantu memperoleh dana yang banyak bagi menampung segala proses pembelajaran universiti mereka sendiri.

Oleh yang demikian, adalah ingin dicadangkan supaya peruntukan belanjawan yang bakal dibentangkan kelak dapat mengutamakan universiti-universiti dan IPT yang baru bertapak serta yang tidak memiliki ranking atau yang belum mencapai prestasi yang baik dalam senarai universiti terbaik di peringkat kebangsaan, serantau ataupun antarabangsa supaya universiti-universiti dan IPT baharu ini dapat berkembang dengan baik serta mencapai satu status, ranking atau prestasi yang boleh dibanggakan sama seperti universiti-universiti dan IPT yang sudah lama bertapak dalam negara kita demi menjamin kualiti masa depan sistem pendidikan tinggi negara kita serta bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat dan adil dalam kalangan semua universiti dan IPT yang ada dalam negara kita. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN