Terlalu banyak calon, semakin kabur mandat

Terlalu banyak calon, semakin kabur mandat

MALAYSIA perlu mengelakkan keadaan politik yang terlalu berpecah sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK sebelum merdeka hingga kini, Malaysia telah melalui 15 kali Pilihan Raya Umum (PRU) dalam sistem Demokrasi Berparlimen yang diadakan setiap lima tahun bagi memilih wakil rakyat di peringkat negeri dan Persekutuan.

Pada peringkat awal, landskap politik negara agak mudah kerana hanya terdapat beberapa parti utama seperti UMNO, MCA dan MIC yang membentuk Perikatan, kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Parti lain seperti Pas, DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM)  dan Parti Buruh pula bertanding secara bersendirian dengan bilangan parti yang terhad.

Ketika itu, kebanyakan kerusi Parlimen dan DUN menyaksikan pertandingan dua penjuru, sekali gus memudahkan pengundi membuat pilihan yang lebih jelas. Namun, menjelang PRU15 pada 2022, jumlah parti politik semakin bertambah dengan kemunculan pelbagai parti baharu termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Situasi ini mewujudkan pelbagai gabungan politik seperti BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN),Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  dan lain-lain, yang menyebabkan banyak kerusi ditandingi oleh tiga hingga 10 calon dalam satu kawasan.

Keadaan ini menimbulkan isu apabila keputusan pilihan raya sering dimenangi oleh calon yang hanya memperoleh majoriti mudah, bukan majoriti sebenar pengundi. 

Dalam banyak kes, calon yang menang hanya mendapat kurang daripada 50 peratus undi keseluruhan. Ini bermakna lebih separuh pengundi tidak memilih wakil yang akhirnya menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Keadaan ini boleh menimbulkan persoalan tentang tahap legitimasi dan kekuatan mandat rakyat yang diperoleh.

Selain itu, bilangan calon yang terlalu ramai juga boleh menyebabkan pengundi keliru serta menyukarkan pemilihan calon yang benar-benar berkualiti. Akhirnya, ada calon yang menang bukan kerana kekuatan dasar atau pengalaman tetapi kerana perpecahan undi antara banyak parti. Situasi ini boleh memberi kesan kepada kestabilan kerajaan yang dibentuk.

Sehubungan itu, terdapat pandangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan meneliti semula peraturan sedia ada dengan memperkenalkan syarat lebih ketat. Antaranya termasuk hanya membenarkan parti yang telah berdaftar sekurang-kurangnya enam tahun untuk bertanding serta mewajibkan keahlian minimum dalam sesuatu kawasan pilihan raya. 

Selain itu, dicadangkan juga supaya hanya dua gabungan utama dibenarkan bertanding dalam satu kawasan, tidak termasuk calon bebas.

Langkah ini dilihat dapat mengurangkan terlalu banyak persaingan dalam satu kerusi serta memastikan pertandingan lebih seimbang dan jelas. Model dua parti utama seperti di United Kingdom (UK) dan Australia sering dijadikan rujukan kerana menghasilkan kerajaan yang lebih stabil dan kukuh.

Malaysia perlu mengelakkan keadaan politik yang terlalu berpecah sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran. Oleh itu, penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya perlu dipertimbangkan agar keputusan yang terhasil benar-benar mencerminkan kehendak majoriti rakyat serta menjamin kestabilan negara. -UTUSAN

 

TEROPONG DO RE MI

Setapak, 

Kuala Lumpur

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN