Kru kapal MV Berkat Tuah terpaksa tangguh kahwin

Kru kapal MV Berkat Tuah terpaksa tangguh kahwin

MOHD. Fariduddin Mohd. Jainuddin (dua kanan) dan Lokman Yahaya (kanan) bersama rakan-rakan di atas kapal MV Berkat Tuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Nasib malang yang menimpa kru kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan mereka, malah memaksa beberapa perancangan penting dalam kehidupan ditangguhkan buat sementara waktu.

Seorang kru kapal berkena­an yang bertugas sebagai oiler, Mohd. Fariduddin Mohd. Jainuddin, 26, berkata, dia terpaksa membatalkan perancangan per­kahwinan yang sepatutnya berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

Katanya, segala persiapan termasuk tempahan dewan yang dibuat sebelum ini terpaksa dibatalkan susulan ketidaktentuan tarikh kepulangannya ke Malaysia.

“Sebelum ini semuanya sudah dirancang termasuk tarikh dan tempahan dewan. Tetapi apabila berlaku perkara seper­ti ini, semua perancangan terpaksa dibatalkan. Memang sedih kerana keluarga kedua-dua belah pihak sudah membuat persiapan, namun keadaan ti­dak mengizinkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi kru kapal itu, Lokman Yahaya, 41, pula berkata, dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk bertunang dengan wanita pilihannya berikutan ke­tidaktentuan nasib yang dihadapi mereka pada ketika ini.

Menurutnya, segala perancangan yang dibuat sebelum ini terpaksa diketepikan sehingga masalah yang membelenggu kru kapal tersebut dapat diselesaikan.

“Memang ada perancangan untuk bertunang, tetapi dengan keadaan sekarang saya tidak berani beri kata putus. Calon saya berada di Terengganu dan Alhamdulillah dia memahami situasi yang sedang saya hadapi.

“Namun, saya sendiri tidak tahu sampai bila keadaan ini berlarutan. Kalau mengikut perancangan asal, urusan pertunangan dibuat selepas saya pulang dari sini,” katanya.

Lokman yang berasal dari Kerteh, Terengganu, berharap segala kemelut yang dihadapi kru kapal MV Berkat Tuah dapat diselesaikan dalam masa terdekat supaya mereka dapat pulang ke tanah air dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Harapan saya supaya semua masalah di sini dapat diselesaikan segera, termasuk tunggakan gaji yang belum dibayar. Selepas itu barulah kami boleh merancang semula masa depan,” katanya.

Menurut kru kapal ber­kenaan, hasil perbincangan an­tara pihak Kedutaan Malaysia di Dubai dan pihak berkuasa pelabuhan (Harbour Master), hanya lima daripada 10 kru kapal dibenarkan pulang ke Malaysia buat masa ini.

Keputusan itu menyebabkan lima lagi kru terpaksa terus berada di atas kapal bagi memastikan urusan dan keselamatan kapal dapat dipantau sementara menunggu penyelesaian lanjut.

Mereka berharap pihak ber­kaitan dapat mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji serta urusan repatriasi supaya semua kru yang masih terkandas dapat dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN