PETALING JAYA: Jabatan Laut Malaysia dan Kesatuan Kebangsaan Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) kini berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menyelaras bantuan dan menilai keadaan kru MV Berkat Tuah yang terkandas dan ditindas lebih setahun di perairan negara itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dollah berkata, beliau dan wakil NUSPM akan mengadakan pertemuan dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai bagi membolehkan segala usaha untuk membawa lima orang anak kapal MV Berkat Tuah direalisasikan.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, tiada sebarang petunjuk bahawa pemilik MV Berkat Tuah telah mengambil tanggungjawab atau langkah yang sewajarnya bagi menangani situasi dihadapi kru terbabit.
“Kami akan pastikan semua kru berada dalam keadaan selamat dan dapat dibawa pulang ke tanah air.
“Namun, setakat ini tiada tanda yang menunjukkan kru kapal dijaga dengan baik dan mereka telah ditindas,” katanya di sini semalam.
Syarikat pengendali dan pemilik kapal MV Berkat Tuah sebelum ini didakwa menjadi mangsa penganiayaan komersial sehingga mengakibatkan anak-anak kapal terkandas lebih setahun di perairan UAE.
Penderitaan dialami disebabkan syarikat pengendali berdepan kekangan dana meruncing.
Krisis berpunca daripada tindakan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang menahan kapal itu dan mengingkari perintah mahkamah berhubung liabiliti kewangan.
Dalam pada itu, Setiausaha NUSPM, Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, kebajikan dan usaha membawa pulang lima lagi pelaut Malaysia yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, UAE kekal menjadi keutamaan.
“Kesatuan bersama Ketua Pengarah Laut telah berusaha tanpa henti, malah melangkaui tanggungjawab masing-masing bagi memastikan proses membawa pulang lima pelaut itu dapat disegerakan,” katanya. – UTUSAN










