KUANTAN: Seramai 3,442 penagih dan bekas penagih sedang mengikuti program rawatan serta pemulihan di seluruh Pahang di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sehingga April lalu.
Daripada jumlah itu, 1,153 orang atau 33 peratus ialah penagih yang berada di kawasan Felda.
Pengarah AADK Pahang, Aman Mustapha berkata, statistik itu membuktikan kawasan Felda kekal menjadi fokus utama pelaksanaan program pencegahan dan pemulihan.
Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan komuniti Felda bebas daripada ancaman dadah.
“Daripada 1,153 kes itu, sebanyak 660 merupakan kes baharu manakala 493 lagi melibatkan kes berulang, sekali gus mencerminkan keperluan pendekatan lebih agresif dan bersepadu bagi membendung gejala tersebut daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun jumlah kes di kawasan Felda menunjukkan penurunan sebanyak 67 kes berbanding keseluruhan 1,220 kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu, isu penyalahgunaan dadah tidak boleh dipandang ringan kerana masih memberi kesan kepada kesejahteraan komuniti peneroka.
“Kami melihat Felda sebagai nadi masyarakat luar bandar. Jika Felda kuat, negara juga akan kuat. Justeru itu, usaha pencegahan dan pemulihan mesti digerakkan secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Daripada keseluruhan penagih yang direkodkan, seramai 3,310 orang ialah lelaki manakala hanya 132 wanita.
Pecahan kaum menunjukkan Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,148 orang (91.46 peratus) diikuti Cina, 148 orang (4.3); India, 82 orang (2.38); Orang Asli, 45 orang (1.31); lain-lain kaum, 12 orang (0.35) serta Sabah dan Sarawak, tujuh orang (0.20).
Aman berkata, bagi memastikan isu penyalahgunaan dadah ditangani secara menyeluruh, pihaknya melaksanakan pelbagai program berterusan termasuk Program Kampung Selamat, operasi bersepadu, Gerakan Pemerkasaan Rakyat (Gegar) dan program kesedaran serta intervensi bersama komuniti di kawasan tanah rancangan Felda.
“Kerjasama strategik ini turut diperkasa melalui sokongan kepemimpinan negeri yang diterajui oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam.
“Melalui kerjasama tersebut, pelbagai inisiatif pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan dilaksanakan secara bersepadu bagi membantu klien di bawah pengawasan AADK serta meningkatkan kesedaran masyarakat Felda tentang bahaya dadah,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah memperkukuh penglibatan komuniti, AADK dan Felda akan melancarkan Skuad Antidadah Felda sempena Sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
“Skuad ini yang dianggotai khusus oleh warga Felda akan berperanan sebagai mata dan telinga komuniti, selain menjadi penggerak utama pelaksanaan aktiviti pencegahan, advokasi serta penyampaian maklumat berkaitan dadah,” katanya. – UTUSAN










