SESEBUAH masyarakat tidak hanya dikenali melalui sejarah politik atau pencapaian ekonomi. Jati diri sesuatu kelompok manusia turut terpahat pada pakaian yang dikenakan, makanan yang dihidangkan, bahasa yang dituturkan, lagu yang dinyanyikan, permainan yang dimainkan serta kepercayaan dan nilai yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Apabila unsur-unsur budaya ini gagal dirakam dan didokumentasikan, sebahagian daripada pengalaman manusia akan hilang bersama peredaran zaman.
Tamadun besar seperti China dan India merakam sejarah dan budaya komuniti dalam bentuk bertulis agar dapat dirujuk sehingga kini.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, agama, keturunan dan latar budaya, karya Sastera Kebangsaan memainkan peranan yang amat penting sebagai khazanah memori kolektif.
Cerpen dan novel bukan sekadar medium hiburan atau wadah menyampaikan mesej moral. Karya kreatif juga berfungsi sebagai arkib kemanusiaan yang menyimpan denyut nadi kehidupan masyarakat pelbagai lapisan.
Seorang pengkaji budaya, apabila membaca sebuah cerpen beberapa puluh tahun selepas karya itu diterbitkan, mungkin memperoleh pelbagai maklumat yang tidak tercatat dalam dokumen rasmi.
Satu babak ringkas tentang seorang nenek kaum India mengikat bunga melur pada rambut cucunya sebelum menghadiri upacara keagamaan mampu mendedahkan aspek perhiasan, hubungan kekeluargaan, bahasa panggilan serta nilai estetika dalam masyarakat tersebut.
Begitu juga dengan gambaran seorang kanak-kanak Melayu yang bermain gasing di halaman rumah kampung atau keluarga Cina yang menyediakan hidangan tradisi menjelang perayaan. Hal-hal yang kelihatan kecil sebenarnya merupakan cebisan sejarah budaya yang wajar didokumentasi.
Dalam karya kreatif, budaya tidak semestinya dijelaskan seperti dalam buku teks antropologi. Sebaliknya, budaya hidup secara semula jadi melalui watak, konflik, dialog dan latar cerita.
Seorang penulis yang mencipta watak daripada pelbagai kaum mempunyai peluang untuk menampilkan cara mereka bercakap, berfikir, menyelesaikan masalah, menunjukkan kasih sayang dan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.
Di sinilah kekuatan cerpen dan novel berbanding catatan akademik. Sastera memperlihatkan manusia yang bernafas, bukan sekadar data dan fakta.
Antropolog terkenal, Clifford Geertz dalam bukunya ‘The Interpretation of Cultures’ (1973) memperkenalkan konsep pemerian mendalam. Ia merujuk usaha memahami budaya melalui makna yang diberikan oleh anggota masyarakat terhadap tindakan dan amalan mereka.
Walaupun Geertz menulis dalam konteks kajian antropologi, prinsip yang sama boleh diaplikasikan dalam dunia . Seorang pengarang yang berjaya bukan sekadar menulis sesuatu upacara sedang berlaku, sebaliknya menggambarkan suasana, bau, warna, bunyi, emosi dan pemikiran manusia yang terlibat dalam upacara tersebut.
Sebagai contoh, sebuah novel Sastera Kebangsaan boleh membawa pembaca memasuki ruang dapur sebuah keluarga India di ladang getah pada 1960-an. Pembaca bukan sekadar mengetahui bahawa keluarga itu makan tosai dan cutni.
Pembaca turut dapat mendengar bunyi lesung yang menumbuk rempah, menghidu aroma kari yang sedang dimasak serta memahami peranan ibu dan nenek dalam pemindahan ilmu memasak.
Malah pembaca seolah-olah melihat sendiri bagaimana makanan menjadi jambatan yang menghubungkan generasi lama dengan generasi muda. Perincian seperti ini menjadikan sastera sebagai dokumen budaya yang bernyawa.
Pada masa sama, Sastera Kebangsaan perlu melangkaui gambaran stereotaip yang hanya memaparkan budaya secara permukaan. Menyebut tentang kaum tertentu hanya melalui pakaian tradisional atau makanan khas tidak mencukupi.
Penulis perlu menyelami lapisan pemikiran, falsafah hidup, kepercayaan, adat, pantang larang, hubungan sosial dan perubahan yang berlaku akibat pemodenan. Kita sedia maklum budaya bukan sesuatu yang beku. Budaya sentiasa bergerak dan berubah mengikut masa.
Dalam masyarakat Malaysia hari ini, banyak amalan tradisional semakin jarang ditemui. Ada permainan rakyat yang hampir dilupakan, bahasa pertuturan yang semakin kurang digunakan, serta adat keluarga yang mengalami perubahan akibat perpindahan ke bandar dan perkembangan teknologi.
Oleh sebab itu, penulis pelbagai kaum dan etnik mempunyai tanggungjawab sebagai perakam zaman. Apa yang ditulis hari ini mungkin menjadi bahan rujukan kepada pembaca pada masa hadapan untuk memahami cara hidup masyarakat Malaysia pada abad ke-21.
Hal ini pernah disentuh oleh sarjana budaya, Raymond Williams dalam bukunya Culture and Society 1780–1950 (1958) apabila beliau membincangkan budaya sebagai keseluruhan cara hidup sesuatu masyarakat, bukan terbatas kepada seni tinggi atau pencapaian intelektual semata-mata.
Aspek ini amat sesuai dengan kedudukan Sastera Kebangsaan yang berupaya membuka ruang kepada pengalaman manusia daripada pelbagai kelompok masyarakat seperti di Malaysia.
Karya sastera dalam bahasa kebangsaan mempunyai kelebihan yang istimewa kerana mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pengalaman budaya pelbagai kaum dan etnik.
Seorang penulis India, Cina, Iban, Kadazan, Melayu atau daripada mana-mana latar keturunan minoriti dapat menggunakan bahasa yang sama untuk berkongsi cerita masyarakat masing-masing.
Melalui proses ini, bahasa kebangsaan tidak sesekali menghapuskan kepelbagaian budaya, sebaliknya menjadi wahana untuk mendokumentasi pelbagai warna kehidupan manusia.
Cerpen dan novel yang baik akan membolehkan seorang pembaca Melayu memahami pengalaman keluarga Cina, seorang pembaca India mengenali adat masyarakat Iban, atau seorang pembaca dari bandar menyelami kehidupan masyarakat desa.
Proses saling mengenali ini penting dalam pembinaan masyarakat yang menghargai perbezaan dan menerima kepelbagaian sebagai kekuatan.

SASTERA SEBAGAI ARKIB HIDUP BUDAYA MASYARAKAT
Sastera Kebangsaan bukan sekadar koleksi cerita dalam bahasa kebangsaan. Ia merupakan gudang ingatan bangsa Malaysia yang menyimpan suara pelbagai kaum, agama dan keturunan.
Setiap watak, dialog, makanan, pakaian, permainan, lagu dan upacara yang direkodkan dalam cerpen serta novel merupakan satu bentuk dokumentasi budaya.
Apabila pengarang menulis dengan jujur, teliti dan penuh rasa hormat terhadap kepelbagaian manusia, karya sastera akan terus hidup sebagai saksi kepada perjalanan masyarakat Malaysia merentasi zaman. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).









