DALAM landskap pendidikan tinggi hari ini, universiti tidak lagi bergerak dalam zon selesa dari segi kewangan. Kos operasi yang semakin meningkat, ditambah dengan pengurangan subsidi kerajaan, memaksa institusi pengajian tinggi (IPT) mencari sumber pembiayaan yang lebih mampan dan strategik.
Dalam konteks ini, dana wakaf pendidikan muncul bukan sekadar pilihan alternatif tetapi keperluan struktur yang semakin mendesak.
Universiti awam kini berdepan tekanan kewangan yang kompleks. Mereka perlu menanggung kos penyelenggaraan fasiliti, pembangunan infrastruktur digital, gaji tenaga akademik dan bukan akademik, serta pelaburan dalam penyelidikan.
Dalam masa sama, kemampuan fiskal kerajaan untuk terus meningkatkan subsidi semakin terhad akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Keadaan geopolitik semasa, termasuk konflik antarabangsa dan gangguan rantaian bekalan, turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Tekanan inflasi dan ketidakstabilan harga tenaga menjadikan Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran global ini. Oleh itu, kebergantungan penuh kepada dana kerajaan tidak lagi mampan untuk jangka panjang.
Dalam keadaan ini, wakaf pendidikan berfungsi sebagai mekanisme kewangan strategik yang mampu mengisi jurang pembiayaan secara berterusan. Berbeza dengan dana biasa, wakaf mengekalkan aset pokok dan mengagihkan manfaatnya secara berterusan, menjadikannya sumber yang stabil dan lestari.
Di Malaysia, inisiatif wakaf pendidikan telah berkembang melalui pelbagai universiti awam. Institusi ini menubuhkan dana wakaf bagi membantu pelajar, membiayai pembangunan akademik serta memperkukuh penyelidikan.
Model pengurusan wakaf juga semakin profesional. Universiti melaburkan sebahagian dana dalam instrumen patuh syariah bagi menjana pulangan, manakala manfaatnya diagihkan kepada pelajar yang memerlukan. Pendekatan ini membuktikan wakaf bukan sekadar instrumen kebajikan tetapi juga alat kewangan yang efisien dan berstruktur.
Dalam era digital, wakaf turut berkembang melalui platform wakaf dalam talian, potongan gaji automatik dan integrasi sistem kewangan moden. Inovasi ini membuka ruang penyertaan lebih luas kepada masyarakat dan meningkatkan kecekapan pengurusan dana.
Namun, potensi wakaf masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Cabaran utama termasuk tahap kesedaran masyarakat yang rendah, kekangan tadbir urus serta keterbatasan perundangan di bawah Majlis Agama Islam Negeri. Justeru, reformasi dasar dan kerjasama antara kerajaan, universiti dan sektor swasta amat diperlukan.
Wakaf pendidikan bukan lagi sekadar instrumen sokongan tetapi enjin pembiayaan strategik untuk memastikan kelangsungan universiti. Dalam dunia yang tidak menentu, wakaf menjadi asas kepada sistem pendidikan yang lebih lestari, inklusif dan berteraskan nilai. – UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & NOR’AZURAH MD. KAMDARI
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan










