SHAH ALAM: Universiti perlu beralih kepada model pembelajaran digital yang lebih praktikal dan tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional bagi melahirkan mahasiswa berdaya saing dan mapan.
Ini kerana pembelajaran secara konvensional tidak lagi mencukupi untuk mendepani cabaran semasa yang menjadi sebahagian daripada perubahan besar dalam dunia pendidikan tinggi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, langkah itu sejajar dengan hasrat melahirkan graduan yang mencipta penyelesaian kepada masalah dan ekosistem, bukan sekadar pengguna teknologi.
“Hal itu amat kritikal bagi memastikan anak muda kita mempunyai daya saing yang tinggi di peringkat global.
“Ia perlu selari dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM 2026-2035) seperti mana digariskan oleh Menteri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, yang berpaksikan kepada lonjakan strategik.
“Antaranya bakat berprestasi tinggi dipacu matlamat, kompetensi Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) termaju serta kemampanan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam ucaptama program International Student Development Colloquium 2026 (ISDEVCOL2026) yang berlangsung selama tiga hari.
Beliau mengetuai delegasi UiTM bersama Jabatan HEP (JHEP) UiTM dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam program yang dianjurkan di Prince of Songkla University (PSU), Kampus Pattani, Thailand bertujuan membawa misi menterjemah hasrat kementerian untuk melahirkan graduan yang mahir teknologi dan ‘kalis masa depan’.
Beliau menambah, penglibatan dalam program tersebut merupakan sinergi yang kritikal antara pengurusan dan pemimpin mahasiswa bagi memastikan objektif serta visi daripada kementerian dapat diterapkan terus dalam aktiviti mahasiswa.
“Masa depan mahasiswa kini bergantung sepenuhnya kepada keberanian untuk melakukan anjakan daripada kaedah lama kepada model masa hadapan.
”Dengan dukungan padu daripada kementerian serta kepemimpinan Datuk Seri Zambry, sasaran utama RPTM 2026-2035 adalah untuk memastikan setiap graduan kita muncul sebagai digital-native yang berwibawa bagi memacu ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN










