BEIJING: Ratusan pelajar muda China yang memegang pen dan kad pengenalan mereka beratur masuk ke sebuah pusat peperiksaan di Beijing pada Ahad di bawah langit biru, dikerumuni ibu bapa, bagi menyertai jutaan pelajar lain yang menduduki peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan yang sangat penting.
Kira-kira 12.9 juta pelajar di seluruh negara telah mendaftar untuk ‘gaokao’ tahun ini, menurut Kementerian Pendidikan, yang bagi kebanyakan pelajar merupakan faktor penentu utama kemasukan ke universiti di China.
Peperiksaan beberapa hari itu, yang bermula pada Ahad, menguji pelajar dalam subjek seperti bahasa Cina, matematik, bahasa Inggeris, sains dan kemanusiaan dengan keputusan keseluruhan akan diumumkan kemudian bulan ini.
“Saya pertama kali menduduki, jadi saya agak cemas,” kata pelajar Zhang Xinnan sejurus sebelum memasuki dewan peperiksaan.
Pelajar Beijing itu yang berkaca mata mengakui dia gugup untuk bahagian esei bahasa Cina.
Namun, memakai pakaian seragam sekolah, remaja 18 tahun itu berkata walaupun berasa gementar, dia yakin akan dapat melakukannya dengan baik kerana telah berlatih soalan sepanjang tahun lalu.
“Perkara yang perlu kami kuasai sudah pun dikuasai,” kata Xinnan, yang bercita-cita bekerja dalam bidang kenderaan tenaga baharu.
“Masuk dengan keyakinan; anda akan berjaya,” tambahnya.
Sesetengah ibu bapa berkumpul di luar dewan peperiksaan memakai pakaian merah, simbol tuah dalam budaya China.
Puluhan polis dan pengawal keselamatan berkawal sementara ibu bapa berdiri di tepi barisan pelajar yang menunggu untuk masuk dengan harapan dapat merakam anak mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
Pihak pendidikan sentiasa berwaspada setiap tahun dan telah berusaha membanteras penipua.
Malah, tahun ini pihak pendidikan secara jelas memberi amaran kepada pelajar supaya tidak membawa cermin mata pintar atau jam tangan pintar ke pusat peperiksaan yang dipantau melalui video. – AFP










