ALUMNI Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) memandang serius isu melibatkan persembahan teater di Universiti Malaya yang didakwa mengandungi unsur tidak selaras dengan nilai moral, etika dan budaya masyarakat Malaysia.
Sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul, universiti bukan sekadar ruang akademik tetapi merupakan gedung ilmu dan medan pembentukan akhlak, jati diri serta kepimpinan generasi masa hadapan.
Justeru, sebarang bentuk ekspresi seni yang melampaui batas norma dan nilai masyarakat adalah tidak wajar serta mencalar imej institusi pendidikan tinggi negara.
Alumni MPPK menegaskan bahawa kebebasan berkarya dalam kalangan mahasiswa perlu dipandu oleh tanggungjawab moral, sensitiviti budaya dan disiplin intelektual.
Kebebasan tanpa batas bukanlah lambang kematangan sebaliknya boleh membawa kepada normalisasi budaya yang tidak sihat dalam ruang akademik.
Dalam hal ini, kami menyokong tindakan tegas pihak universiti yang mengambil langkah sewajarnya terhadap pelanggaran garis panduan pertandingan.
Pada masa yang sama, insiden ini harus menjadi peringatan penting kepada seluruh ekosistem pendidikan tinggi agar aspek pemantauan, tapisan kandungan dan kawal selia program diperkukuh secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Alumni MPPK menyeru agar:
• Garis panduan aktiviti seni dan budaya diperkasakan dengan pemantauan yang lebih ketat
• Nilai agama, moral dan budaya dijadikan teras dalam setiap penganjuran program mahasiswa
• Kepimpinan pelajar berperanan sebagai benteng menjaga integriti dan imej universiti
Universiti harus kekal sebagai institusi yang memartabatkan ilmu dan membina peradaban bukan ruang yang membuka jalan kepada budaya yang bercanggah dengan nilai masyarakat. – UTUSAN
MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)










