TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan agenda wakaf pendidikan menerusi Majlis Peletakan Kubah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan).
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pembangunan institut berkenaan merupakan simbol komitmen mereka memperkasa pendidikan Islam secara holistik melalui sinergi wakaf, penyelidikan dan kerjasama strategik bersama sektor korporat.
Menurut beliau, projek yang dibiayai sepenuhnya melalui dana wakaf dengan pewakaf utama iaitu Yayasan Rafulin, menjadi kesinambungan memperjuangkan integrasi ilmu wahyu dan akademik di negara ini.
“Institut ini akan menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang menggabungkan tradisi turath Islami dengan penyelidikan akademik moden di peringkat dunia.
“UPSI komited menjadikan i-Furqan sebagai pusat rujukan utama dalam bidang tahfiz dan turath Islami yang mampu melahirkan generasi ilmuwan Islam,” katanya di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim, hari ini.
Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Abdul Nasir Abd. Latif berkata, pemasangan kubah utama institut tersebut menampilkan konsep seni bina Islam kontemporari dengan sentuhan eksklusif ‘Rafulin Signature’.
“Kubah berdiameter lima meter itu menggunakan kemasan oxidized copper premium dari Jerman, iaitu material sama yang digunakan dalam pembinaan Masjid Raja Lumu.
“Struktur kubah ini mempunyai berat kira-kira 600 kilogram dengan ketinggian 2.2 meter dan diperkukuh melalui tiga lapisan utama melibatkan aluminium, lapisan kalis air dan tembaga bagi memastikan ketahanan serta nilai estetika yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, bahagian pinnacle berwarna emas setinggi 1.6 meter pula melengkapkan keseluruhan struktur sekali gus menyerlahkan elemen kemegahan seni bina Islam moden di Tanjung Malim.
Katanya, i-Furqan dijangka beroperasi pada awal tahun depan dan berperanan memperkukuh kedudukan UPSI sebagai pusat rujukan utama ilmu tahfiz dan turath Islami di negara ini. – UTUSAN










