PENYELIDIKAN universiti perlu menjadi alat strategik untuk menjawab persoalan utama: Bagaimana Malaysia boleh mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, membangunkan teknologi sendiri, memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga, serta melahirkan penyelesaian tempatan yang berdaya saing?
Apabila berlaku konflik global, bekalan bahan api, baja, makanan, ubat-ubatan, cip elektronik dan bahan mentah penting boleh terganggu.
Justeru, penyelidikan dalam bidang keselamatan makanan, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, kesihatan awam, bahan alternatif, keselamatan siber, kecerdasan buatan dan pemprosesan sumber tempatan perlu diberi keutamaan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menekankan agenda penubuhan unit penyelidikan, pembangunan, inovasi, komersialisasi dan ekonomi (RDICE) di setiap institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi memperkukuh hubungan penyelidikan dengan ekonomi dan industri.
Dalam menghadapi krisis global, kolaborasi antara IPTA, kerajaan, industri dan komuniti perlu diperkukuh. Penyelidikan tidak boleh berhenti sebagai tesis, laporan teknikal atau penerbitan jurnal semata-mata.
Ia mesti diterjemahkan kepada produk, teknologi, polisi dan penyelesaian yang boleh digunakan oleh masyarakat serta industri.
Malaysia sebenarnya mempunyai kekuatan besar. Negara ini kaya dengan biodiversiti, hasil pertanian, sumber marin, bahan semula jadi dan kepelbagaian kepakaran akademik.
Sekiranya diteroka secara saintifik dan beretika, kekayaan ini mampu melahirkan inovasi dalam bidang farmaseutikal, makanan berfungsi, bahan lestari, bioteknologi, rawatan air, pertanian pintar dan tenaga alternatif.
Sebagai contoh, penyelidikan terhadap tumbuhan tempatan boleh membuka ruang kepada pembangunan ubat-ubatan dan produk kesihatan baharu. Sisa pertanian seperti tandan kosong kelapa sawit, sekam padi atau sisa makanan pula boleh ditukar kepada bahan bernilai tinggi.
Penyelidikan tenaga boleh baharu boleh mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Kajian keselamatan makanan pula dapat membantu negara menghadapi gangguan bekalan akibat peperangan atau perubahan iklim.
Namun, untuk memastikan penyelidikan IPTA benar-benar memberi impak, beberapa perkara perlu diberi perhatian.
Pertama, pembiayaan penyelidikan perlu lebih strategik dan berterusan. Dana penyelidikan bukan perbelanjaan tambahan, tetapi pelaburan keselamatan masa depan negara.
Kedua, budaya penyelidikan perlu mementingkan impak, bukan hanya bilangan penerbitan. Ketiga, industri perlu lebih terbuka bekerjasama dengan universiti awam dalam membangunkan teknologi tempatan.
Pembangunan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 juga menunjukkan bahawa negara sedang bergerak ke arah transformasi pendidikan tinggi yang lebih inklusif, digital dan berdaya saing global.
KPT memaklumkan bahawa pelan ini dibangunkan melalui penglibatan lebih 8,226 pihak berkepentingan, merangkumi perbincangan, validasi, tinjauan kebangsaan, kajian rujukan serta pakar akademik tempatan.
Dalam era perang maklumat dan persaingan teknologi, universiti juga perlu menjadi suara ilmu yang berintegriti.
Penyelidikan bukan sahaja perlu menjawab masalah sains dan teknologi, tetapi juga isu masyarakat, etika, komunikasi krisis, keselamatan sosial dan pembangunan insan.
Kemajuan teknologi tanpa nilai kemanusiaan boleh membawa risiko baharu kepada masyarakat.
Dunia yang bergolak memerlukan negara yang bersedia. Negara yang bersedia pula memerlukan universiti yang berdaya saing, penyelidik yang kompeten dan ekosistem ilmu yang hidup.
IPTA perlu terus memainkan peranan sebagai pusat pemikiran, inovasi dan ketahanan negara. Jika pertahanan fizikal menjaga sempadan, penyelidikan pula mempertahankan masa depan negara. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NOOR HIDAYAH PUNGOT & DR. NAZRIZAWATI AHMAD TAJUDDIN
Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam










