WASHINGTON: Polis berkata, sebahagian orang cedera dalam satu kejadian tembakan di University of Iowa awal pagi Ahad.
Ia berlaku selepas pusat pengajian tinggi di Midwest itu mengeluarkan amaran mengenai bunyi tembakan di kawasan yang popular untuk hiburan malam.
Amerika Syarikat (AS) di mana senjata api mudah diperoleh, mempunyai sejarah panjang keganasan bersenjata yang meragut ribuan nyawa setiap tahun.
“Jabatan Polis Bandar Iowa sedang menyiasat satu kejadian tembakan yang berlaku pada Ahad,” kata pihak berkuasa bandar tersebut dalam satu kenyataan dan menambah bahawa tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Pada masa ini, beberapa mangsa telah dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan bagi kecederaan akibat tembakan tersebut,” tambahnya.
Keadaan mangsa masih belum diketahui, kata pihak berkuasa.
Polis berkata, anggota-anggota bertindak balas terhadap laporan mengenai pergaduhan besar di kampus sejurus sebelum pukul 2 pagi waktu tempatan.
Ia berkata, anggota-anggotanya yang tiba di lokasi mendengar bunyi tembakan.
Pihak pengurusna universiti itu berkata, terdapat mangsa-mangsa yang disahkan dalam insiden tersebut, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai jumlah korban.
Dalam amaran kecemasan, pihak universiti menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan kawasan tersebut dan sentiasa berwaspada.
Universiti itu berkata, tembakan dilaporkan berhampiran persimpangan jalan College dan Clinton.
Kejadian tembakan sering berlaku di kampus sekolah dan universiti di AS.
Dua orang terbunuh akibat tembakan di South Carolina State University pada Februari.
Sementara itu, dua orang lagi terbunuh dan sembilan cedera apabila seorang penyerang melepaskan tembakan di dalam sebuah bilik kuliah di Brown University pada Disember. – AFP










