Universiti gantung 16 pelajar undang-undang kerana mesej - Utusan Malaysia

Universiti gantung 16 pelajar undang-undang kerana mesej

GAMBAR bangunan pentadbiran Universiti Indonesia, Depok, Jawa Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebuah universiti terkemuka di Indonesia menggantung 16 pelajar undang-undang pada Khamis selepas perbualan kumpulan yang mengandungi kandungan seksual eksplisit mengenai rakan sepengajian wanita tular.

Penularan mesej itu mencetuskan debat mengenai keganasan jantina di negara majoriti Muslim itu.

Tangkapan skrin perbualan antara 16 pelajar lelaki di Universiti Indonesia (UI) itu tersebar di media sosial minggu ini, mengundang rasa terkejut dan marah daripada pelajar wanita serta mencetuskan perbincangan masyarakat yang lebih luas.

Pihak universiti dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa kesemua pelajar lelaki tersebut digantung selama dua minggu sementara siasatan dijalankan.

“Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada komitmen universiti untuk mengekalkan persekitaran akademik yang kondusif,” kata jurucakap universiti, Erwin Agustian Panigoro dalam satu kenyataan.

Pelajar-pelajar berkenaan dituduh membuat jenaka seksual yang lucah dan eksplisit terhadap rakan sepengajian serta pensyarah wanita. Salah satu mesej yang tular menyebut diam bermaksud setuju untuk melakukan hubungan terlarang.

Beberapa hari kemudian, sekumpulan pelajar wanita di universiti berkenaan bertindak mengecam kumpulan lelaki tersebut dalam satu forum terbuka.

Rakaman video konfrontasi yang menunjukkan kumpulan lelaki terbabit hanya menunduk ketika dimarahi oleh pelajar wanita yang merasa terancam, turut menjadi tular.

Badan pelajar universiti kini menuntut agar kumpulan lelaki tersebut dihadapkan ke lembaga etika dan dikenakan sekatan yang lebih tegas.

Insiden ini telah mencetuskan perdebatan awam mengenai penderaan seksual lisan dan gangguan yang sering dianggap remeh dalam masyarakat konservatif di Indonesia.

Menurut tinjauan terbaharu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), lebih daripada satu perempat wanita di negara itu melaporkan pernah mengalami keganasan berasaskan jantina.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO), Rangkaian Pemantauan Pendidikan Indonesia (JPPI) melaporkan sebanyak 200 kes keganasan direkodkan di institusi pendidikan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan lalu, dengan hampir separuh daripadanya melibatkan penderaan seksual.

JPPI kini menuntut kerajaan mengisytiharkan darurat terhadap keganasan di institusi pendidikan dan menjadikannya sebagai keutamaan nasional. 

Indonesia sebelum ini telah meluluskan undang-undang mengenai keganasan seksual pada tahun 2022 yang melabelkan gangguan, termasuk secara dalam talian, sebagai satu jenayah.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN