Tibi bukan penyakit lama tapi masih berjangkit

Tibi bukan penyakit lama tapi masih berjangkit

SELAGI kesedaran tidak diperkukuh, selagi itu Tibi akan terus mencari ruang untuk menular dalam komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era kemajuan perubatan dan teknologi kesihatan, ramai beranggapan penyakit berjangkit seperti Tuberkulosis atau Tibi telah lama terkawal dan bukan lagi ancaman utama. Namun realitinya, Tibi masih wujud dalam masyarakat kita dan terus mencatatkan kes baharu setiap tahun.

Tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan lazimnya menyerang paru-paru. Ia boleh merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap dalam jarak yang dekat, khususnya dalam persekitaran tertutup dengan pengudaraan yang kurang baik.

Walaupun kemajuan dalam bidang perubatan telah meningkatkan keupayaan diagnosis dan rawatan, cabaran utama dalam mengawal penyakit ini bukan sekadar teknologi tetapi berkait rapat dengan tahap kesedaran dan sikap masyarakat.

Antara isu utama ialah persepsi Tibi merupakan ‘penyakit lama’ yang tidak lagi relevan. Persepsi ini menyebabkan ramai mengambil ringan simptom awal seperti batuk berpanjangan, keletihan, demam berpanjangan atau penurunan berat badan.

Dalam banyak keadaan, simptom ini dianggap biasa dan tidak memerlukan pemeriksaan lanjut. Kelewatan mendapatkan rawatan bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah meningkatkan risiko penularan kepada orang lain.

Dalam konteks masyarakat moden yang semakin padat dan dinamik, risiko penyebaran Tibi menjadi lebih kompleks. Persekitaran seperti tempat kerja, asrama, pengangkutan awam dan ruang tertutup yang mempunyai pengudaraan terhad boleh menjadi faktor yang meningkatkan risiko jangkitan. Tanpa kesedaran yang mencukupi, seseorang individu boleh terdedah kepada bakteria ini tanpa disedari.

Dari sudut rawatan, Tibi merupakan penyakit yang boleh dirawat dan disembuhkan sepenuhnya jika pesakit mematuhi regimen rawatan yang ditetapkan. Secara umumnya, rawatan Tibi mengambil masa sekitar enam bulan, bergantung kepada jenis jangkitan dan penilaian klinikal. Cabaran utama yang sering dihadapi ialah ketidakpatuhan terhadap rawatan, sama ada disebabkan kekurangan kefahaman, kesan sampingan ubat, atau faktor sosial dan ekonomi.

Usaha pencegahan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama. Individu perlu lebih peka terhadap simptom awal dan mendapatkan pemeriksaan jika mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu. Amalan etika batuk, penggunaan pelitup muka dalam situasi berisiko, serta memastikan pengudaraan yang baik dalam ruang tertutup merupakan langkah asas yang boleh membantu mengurangkan penularan penyakit.

Tibi bukan sekadar isu perubatan tetapi juga isu kesedaran dan sikap masyarakat. Selagi kesedaran tidak diperkukuh, selagi itu Tibi akan terus mencari ruang untuk menular dalam komuniti.

Sudah tiba masanya kita menilai semula tahap kepekaan kita terhadap penyakit ini. Kealpaan dalam mengenal pasti simptom, sikap sambil lewa terhadap rawatan dan stigma yang berterusan hanya akan melemahkan usaha pengawalan penyakit. Sebaliknya, dengan kesedaran yang tinggi, tindakan awal dan sokongan masyarakat, penularan Tibi dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Tibi bukan sekadar penyakit lama yang tinggal dalam lipatan sejarah tetapi ancaman nyata yang masih wujud dalam masyarakat hari ini. Saat kesedaran semakin pudar, keupayaan kita untuk melindungi diri dan orang sekeliling juga turut terjejas.

Justeru, sudah tiba masanya kita kembali peduli kerana dalam soal kesihatan awam, kealpaan kecil boleh membawa kesan yang besar. –UTUSAN

DR. ZITTY SARAH ISMAIL & FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN