KUALA LUMPUR: Pelakon, Zul Ariffin memohon maaf kepada orang ramai susulan kontroversi video dirinya merokok yang tular di media sosial baru-baru ini.
Bagaimanapun, Zul menegaskan dia tidak sesekali akan memohon maaf kepada golongan yang disifatkannya sebagai ‘penunggang’ isu.
Menurut Zul, dia menerima teguran yang dibuat secara berhemah, malah mengakui perbuatannya itu merupakan satu tabiat buruk yang tidak sepatutnya dicontohi.
“Saya nak ambil kesempatan untuk mohon maaf kepada semua yang tegur saya secara baik mengenai tabiat buruk itu sepanjang saya menggunakan media sosial. Kepada pihak KKM juga saya mohon maaf atas kandungan tersebut dan saya berjanji perkara sama tidak akan berulang lagi.
“Tetapi saya tidak akan memohon maaf kepada penunggang dan individu yang meninggalkan komen melampau di Threads.
“Saya perlu tegas dalam perkara seperti ini kerana komen mereka mencerminkan akhlak mereka sendiri, bukannya akhlak saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem The Furious: Pertaruhan Maruah di ibu negara, semalam.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Zul menjelaskan video tersebut dirakam secara spontan ketika dia sedang bersantai dan bukannya bertujuan mempromosikan tabiat merokok kepada masyarakat.
“Saya ingin jelaskan bahawa apa yang berlaku ketika itu hanyalah satu tabiat buruk yang sememangnya tidak digalakkan dan tidak pernah saya sokong. Ketika itu saya sekadar duduk mengambil angin dan kebetulan dirakam oleh rakan.
“Apabila mahu memuat naik video tersebut, saya hanya menambah lagu yang dirasakan sesuai dengan suasana ketika itu seperti kebiasaan di Instagram.
“Namun tiba-tiba ada pihak yang memberi ucapan ‘tahniah’ secara sinis kepada saya. Disebabkan komen itu bersifat sarkastik, saya membalas dengan nada sama,” ujarnya.
Tambah pelakon filem Sheriff dan Polis Evo itu lagi, keadaan menjadi semakin kecoh apabila kandungan tersebut dikaitkan dengan Threads walaupun dia sendiri tidak aktif di platform berkenaan.
“Saya sendiri tidak tahu Instagram itu bersambung dengan Threads. Bila saya lihat keadaan menjadi kecoh, saya rasa seolah-olah saya melakukan kesalahan besar.
“Saya faham ada pihak tidak menyukai tabiat itu, tetapi janganlah menuduh saya menggalakkan orang ramai merokok sedangkan saya tidak pernah mengajak sesiapa melakukan perkara tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Zul turut meluahkan rasa kecewa apabila terdapat pihak yang menurutnya hanya tampil memberi kecaman ketika kontroversi berlaku, namun tidak pernah menghargai kejayaannya dalam industri seni.
“Ketika filem Takluk mencatat kutipan tinggi, saya menyokong industri. Begitu juga Sheriff dan Polis Evo yang mencapai kejayaan besar. Namun, tiada pula pihak yang tampil memberikan sokongan atau ucapan tahniah.
“Apabila nampak saya melakukan satu kesilapan, semuanya mahu bersuara. Katakan sahaja mahu mengkritik, tetapi jangan berselindung di sebalik alasan kononnya saya mempromosikan tabiat tidak sihat,” jelasnya.
Mengulas mengenai tindakan segelintir pihak termasuk artis yang menghasilkan parodi serta kandungan kecerdasan buatan (AI) berhubung isu tersebut, Zul berkata dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius.
“Mungkin mereka mempunyai banyak masa. Saya pula sibuk bekerja dan menghasilkan karya untuk penonton. Ada juga doktor serta individu dalam bidang kesihatan yang menegur saya dengan baik di TikTok dan saya hormati pendekatan itu.
“Pada saya, jika mahu menegur orang ramai, tegurlah dengan cara yang baik dan berhemah. Jangan memilih isu tertentu sahaja untuk diperdebatkan sehingga menimbulkan persepsi berat sebelah,” katanya.
Zul turut menegaskan dia sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup aktif walaupun mengakui mempunyai tabiat buruk tersebut.
“Saya juga menjaga kesihatan, bersenam setiap hari, pergi ke gimnasium dan menjaga pemakanan. Itu hanyalah satu tabiat buruk, bukannya saya mengajak orang lain melakukannya.
“Namun, jika ada yang mahu menegur, saya terima dengan baik. Semoga berjaya kepada semua penunggang isu,” katanya.










