PEMBINAAN pembinaan loji sisa ke tenaga (WTE) gergasi menelan belanja ratusan juta ringgit di kawasan seperti Sungai Udang, Melaka atau Jeram, Selangor. Namun, di sebalik kemegahan teknologi ini, wujud persoalan yang jarang dibincangkan, sampai bila penduduk di luar bandar, pulau dan kawasan pedalaman harus bergantung kepada sistem pengurusan sampah yang tidak mampan dan membebankan?
Sehingga hari ini, terdapat jurang yang sangat besar dalam keutamaan pengurusan sisa pepejal. Pusat bandar mendapat loji canggih, manakala kawasan luar bandar terus ‘dihimpit’ oleh dua pilihan yang tidak ideal, sama ada membiarkan sampah bertimbun di tapak pelupusan haram atau membayar kos logistik yang sangat mahal untuk menghantar sisa pepejal ke bandar.
Dilema ‘lori sampah jarak jauh’
Tahukah anda kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan luar bandar, membelanjakan hampir 60 peratus daripada bajet tahunan hanya untuk kos pengangkutan lori sampah? Ini termasuk kos minyak diesel, penyelenggaraan lori dan gaji pekerja untuk mengangkut sampah sejauh beratus kilometer ke tapak pelupusan.
Ini adalah satu ‘ilusi karbon’. Kita mahu menjaga alam sekitar dengan melupuskan sisa pepejal di loji WTE di bandar tetapi dalam masa sama, lori-lori besar kita ini membakar ribuan liter diesel dan melepaskan asap berbahaya sepanjang perjalanan merentas daerah. Akhirnya, kos pengangkutan ini jauh lebih mahal daripada nilai sampah itu sendiri.
Keperluan setempat
Loji WTE berskala besar (1,000 tan sehari) memerlukan bekalan sampah yang sangat banyak untuk terus beroperasi secara ekonomi. Masalahnya, kawasan luar bandar, tanah tinggi dan pulau tidak menghasilkan sampah sebanyak itu. Akibatnya, kawasan ini sering dipinggirkan daripada menerima teknologi rawatan sisa yang moden kerana ‘tidak menguntungkan’ dari segi skala ekonomi.
Sudah sampai masanya kita berhenti berfikir bahawa ‘lebih besar itu lebih baik.’ Kita memerlukan autonomi sisa di peringkat daerah.
Apa yang diperlukan oleh penduduk di Gugusan Felda, Pulau Tioman, atau pedalaman Sabah dan Sarawak bukanlah loji gergasi tetapi teknologi rawatan setempat yang modular dan kecil. Teknologi pembakaran mikro moden kini mampu memproses sekitar 10 tan sampah sehari dengan keluasan tapak hanya sebesar gelanggang badminton.
Antara kelebihan jika kita fokus kepada pengurusan setempat (desentralisasi):
• Menghapuskan ‘beban logistik’: Sampah diproses di tempat ia dihasilkan. PBT boleh menjimatkan jutaan ringgit wang rakyat yang sebelum ini ‘hangus’ untuk kos pengangkutan sisa.
• Mesra Geografi: Unit modular ini boleh diletakkan di kawasan terpencil, pulau atau kawasan pergunungan tanpa memerlukan pembinaan infrastruktur jalan raya yang besar untuk lori-lori berat.
• Teknologi bersih: Unit moden hari ini melepasi piawaian emisi antarabangsa yang ketat. Ia tidak berbau dan tidak mengeluarkan asap hitam seperti insinerator zaman dahulu.
Kita tidak boleh terus membiarkan pengurusan sisa pepejal di luar bandar berada di takuk lama sedangkan bandar-bandar besar terus memacu ke hadapan.
Dalam menuju ke arah Rancangan Malaysia yang Lestari, kerajaan perlu mula menyediakan peruntukan khusus untuk Fasiliti Rawatan Sisa Modular bagi memperkasakan komuniti luar bandar.
Marilah bersama kita pastikan kesejahteraan komuniti di luar bandar bergerak seiring dengan kemajuan masyarakat di bandar. –UTUSAN
WAN AZIZUL FAIZ ZULKIFLI
Pengarah Teknikal, GSR Environmental
Consultant Sdn Bhd










