SELAMA bertahun-tahun, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi melindungi hak dan kebajikan pekerja dalam negara dan ini termasuklah melalui pindaan undang–undang buruh supaya relevan dengan keadaan semasa yang sentiasa berubah.
Antara yang dipinda adalah Akta Kerja 1955 [Akta 265] di mana buat pertama kalinya dalam sejarah negara ini sistem kerja secara fleksibel mula diiktiraf dalam peruntukan undang-undang negara.
Melalui pindaan berkenaan, bermula pada 2023, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan kepada majikan untuk memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat kerja.
Pihak majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari dari tempoh permohonan. Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan.
Turut dipinda adalah pengurangan jumlah waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam. Pindaan tersebut dilakukan untuk menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu bekerja selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel. Di bawah peraturan baharu ini, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika hadapi situasi kecemasan.
Banyak kajian yang dilakukan di serata dunia juga mendapati pekerja lebih menggemari aturan secara fleksibel ini. Ada pekerja yang sanggup meletak jawatan dari kerja serta bertukar kerja sekiranya majikan mereka tidak membenarkan mereka bekerja secara fleksibel. Penting supaya majikan menghormati kehendak dan kemahuan pekerja terhadap perkara ini.
Segala manfaat yang diperoleh dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada pekerja sekali gus menjadikan mereka lebih produktif serta dapat memberi khidmat yang terbaik kepada pihak organisasi. Ia juga dapat memberi lebih banyak keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Pekerja yang gembira akan membawa manfaat untuk semua pihak. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










