Solidariti sosial penting dalam ketahanan negara

Solidariti sosial penting dalam ketahanan negara

PERPADUAN menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat sekali lagi membuktikan  peperangan moden tidak lagi hanya bergantung pada pertembungan senjata. Iran terus berdepan tekanan berterusan daripada sekatan ekonomi, serangan ketenteraan bersasar dan provokasi geopolitik yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS). 

Dalam landskap ini, timbul persoalan penting, bagaimana sesebuah negara yang ditekan dari pelbagai sudut masih mampu bertahan?

Dalam analisis konflik moden, kekuatan negara tidak hanya bergantung pada kecanggihan teknologi ketenteraan atau kekuatan ekonomi. Sebaliknya, kekuatan sosial seperti perpaduan rakyat, identiti kolektif, semangat nasionalisme dan kesedaran sejarah memainkan peranan yang jauh lebih kritikal dalam menentukan kelangsungan sesebuah negara.

Iran menjadi contoh jelas kepada dinamika ini. Sejarah panjang tamadun Parsi membentuk identiti nasional yang kukuh dalam kalangan rakyatnya. Tamadun ini melalui pelbagai fasa, daripada kegemilangan Empayar Achaemenid di bawah Cyrus the Great, campur tangan kuasa asing, revolusi politik, sehinggalah tekanan geopolitik moden. Semua pengalaman ini membentuk satu naratif kolektif bahawa kelangsungan negara bergantung pada keupayaan untuk bersatu dan bertahan.

Kesedaran sejarah ini mendorong rakyat Iran membangunkan keupayaan sendiri dalam pelbagai sektor termasuk teknologi ketenteraan. 

Dalam tempoh hampir 47 tahun berdepan sekatan ekonomi Barat, Iran terus bertahan dan menyesuaikan diri. Keadaan ini menunjukkan  kekuatan sebenar tidak hanya lahir daripada sumber material tetapi daripada semangat kebersamaan yang mendalam.

Walaupun masyarakatnya berbeza pandangan politik, namun semangat nasionalisme dan identiti ‘keIranan’ kekal menebal.

Dalam situasi ancaman luar, rakyat cenderung untuk bersatu mempertahankan negara. Malah, terdapat laporan  sebahagian rakyat yang berada di luar negara memilih untuk pulang demi bersama-sama mempertahankan tanah air.

Dalam kerangka geopolitik, tekanan luar sering bertujuan bukan sahaja untuk melemahkan keupayaan ketenteraan, tetapi juga menggugat kestabilan dalaman. Namun realiti menunjukkan bahawa ancaman luar tidak semestinya memecahkan masyarakat. Sebaliknya, ia sering menyatukan rakyat di bawah satu semangat kebangsaan yang lebih kuat.

Fenomena ini selari dengan gagasan Ibn Khaldun yang menekankan konsep asabiyyah sebagai asas kekuatan tamadun. Masyarakat yang memiliki solidariti sosial yang tinggi akan lebih tahan menghadapi tekanan dan lebih berupaya membina ketahanan jangka panjang.

Islam turut menegaskan kepentingan perpaduan melalui firman Allah: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali ‘Imran: 103). Ayat ini menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang kukuh dan bersatu.

Dalam dunia yang semakin berpecah, kekuatan sesebuah masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada pembangunan material. Perpaduan menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran global. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN