SIFAT bersyukur dalam kalangan masyarakat hari ini semakin menipis. Nilai ini seolah-olah tidak lagi menjadi asas kehidupan, sebaliknya hanya tinggal sebagai ungkapan tanpa penghayatan.
Perubahan ini wajar dibimbangi kerana kesyukuran menjadi tunjang kepada kesejahteraan individu dan keharmonian sosial. Namun realitinya, semakin ramai yang tidak pernah puas, gemar mencari kesalahan dan cepat menuding jari tanpa menilai secara adil.
Dalam konteks semasa, hampir setiap tindakan kerajaan menjadi bahan kecaman. Apabila dasar diperkenalkan, ada pihak terus mempertikaikan tanpa memahami tujuan sebenar. Jika kerajaan bertindak proaktif, ia dianggap membebankan. Jika tidak campur tangan, dituduh pula tidak prihatin. Sikap ini jelas tidak sihat kerana menolak segala usaha tanpa memberi ruang kepada penilaian rasional.
Lebih membimbangkan, budaya ini semakin menular dalam masyarakat. Media sosial menjadi medan meluahkan ketidakpuasan hati secara terbuka, sering kali tanpa fakta yang sahih. Kata-kata yang digunakan pula semakin kasar dan tidak beradab. Nilai kesopanan dan kesyukuran yang menjadi teras budaya kita seakan-akan terhakis.
Hakikatnya, tiada pentadbiran yang sempurna. Setiap keputusan pasti ada kekuatan dan kelemahan. Namun, itu bukan alasan untuk menolak semua usaha yang dilakukan. Sikap terlalu kritikal tanpa penghargaan hanya melahirkan ketidakadilan. Masyarakat perlu membezakan antara kritikan membina dengan kecaman yang bersifat emosional.
Kerajaan juga tidak terlepas daripada kesilapan. Namun, kesilapan itu sepatutnya membuka ruang penambahbaikan, bukan dijadikan alasan untuk menafikan segala usaha. Jika setiap tindakan dianggap salah, maka apakah yang sebenarnya kita harapkan?
Sikap tidak bersyukur juga jelas apabila masyarakat gagal menghargai nikmat yang tersedia. Kemudahan asas, peluang pendidikan, keamanan dan pelbagai bantuan sering dipandang ringan. Sebaliknya, kekurangan kecil diperbesar sehingga menenggelamkan segala kebaikan.
Sebagai masyarakat beradab, kita perlu kembali kepada nilai kesyukuran. Bersyukur tidak bermaksud menerima tanpa soal tetapi menghargai sambil memperbaiki kelemahan secara berhemah. Kritikan tetap penting, namun mesti berasaskan fakta, adab dan niat membina.
Jika sikap ini dibiarkan, kita akan melahirkan generasi yang negatif, sukar berpuas hati dan hilang rasa hormat. Justeru, sudah tiba masanya kita bermuhasabah dan memupuk kembali kesyukuran dalam fikiran dan tindakan demi membina masyarakat yang lebih matang dan seimbang. –UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










