PETALING JAYA: Pengacara dan penyanyi Ceddy Ang meluahkan rasa sedih apabila lagu terbarunya, Asal Ada Kamu menerima kritikan di media sosial.
Menurut Ceddy atau Ceddy Ang Lian De, 38, kritikan itu timbul apabila persembahan secara langsungnya tidak mencapai tahap yang diharapkan berbanding rakaman asal lagu tersebut.
“Mestilah saya rasa sedih apabila membaca setiap kecaman itu.
Persembahan secara langsung saya tidak sebaik yang diharapkan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads, hari ini.
Ceddy yang juga merupakan juara program Malaysian Host Wanted 2025, berkata, dia sudah melakukan pelbagai persediaan termasuk menjalani latihan berulang kali bagi memastikan persembahan yang diberikan berada pada tahap terbaik.
“Saya sudah cuba berlatih banyak kali untuk memastikan persembahan itu sekurang-kurangnya kedengaran sama seperti rakaman asal,” katanya.
Dalam masa sama, Ceddy mengakui setiap pendengar mempunyai cita rasa muzik yang berbeza.
“Kalau awak tidak suka lagu itu, saya memang tidak boleh buat apa-apa. Itu semua bergantung kepada cita rasa masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya, dia perlu melakukan persembahan secara langsung sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan solo keduanya.
“Saya memang suka menghasilkan lagu yang menghiburkan dan memberi semangat.
“Namun, salah satu keperluan untuk mempromosikan lagu adalah dengan membuat persembahan secara langsung,” katanya.
Menurut Ceddy lagi, dia sangat menitikberatkan kualiti karya tersebut dan sentiasa mengikuti kelas bagi meningkatkan mutu persembahannya.
“Saya bangga dengan diri sendiri kerana saya betul-betul tak cincai dengan karya ini. Saya juga sentiasa menghadiri kelas supaya dapat memberikan persembahan yang lebih baik,” jelasnya.
Terdahulu, majlis pelancaran solo keduanya yang bertajuk Asal Ada Kamu ini berlangsung di A Quiet Place Karaoke, Bukit Bintang.
Penghasilan Asal Ada Kamu juga mendapat sentuhan daripada Bo Amir dan MimiFly. -UTUSAN










