Hidup seimbang bermula dengan kerja fleksibel

Hidup seimbang bermula dengan kerja fleksibel

ATURAN Kerja Fleksibel (AKF) dan bekerja dari rumah (BDR) menjadi pemangkin penting dalam membentuk kehidupan yang lebih seimbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATURAN Kerja Fleksibel (AKF) bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam sambil menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa. 

Kerajaan melaksanakan AKF melalui pendekatan bekerja dari rumah (BDR), waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid. Pendekatan ini mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan pada masa sama memperkukuh kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja mahupun kehidupan yang lebih bermakna.

Pelaksanaan AKF selari dengan pindaan Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 serta Garis Panduan Pelaksanaan AKF 2024 oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). 

Semua dasar ini muncul tepat pada masanya apabila kos sara hidup meningkat dan tuntutan kerja semakin kompleks.

Dalam realiti hari ini, ramai pasangan suami isteri bekerja sepenuh masa. Keadaan ini mewujudkan cabaran besar dalam mengimbangi kerja dan kehidupan. Mereka sering berdepan dilema, sama ada memberi tumpuan kepada kerja atau keluarga. Ketika di pejabat, fikiran mereka tertumpu kepada anak-anak di rumah. Ketika di rumah pula, mereka memikirkan tugasan yang belum selesai. Keadaan ini menimbulkan tekanan emosi yang berterusan.

Perkembangan teknologi pula mengubah landskap kerja secara drastik. Pekerja kini bekerja pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Tugas tidak lagi terikat kepada waktu pejabat kerana komunikasi digital berlaku tanpa henti. 

Fenomena bekerja 24/7 semakin menjadi kebiasaan apabila pekerja menerima arahan walaupun di luar waktu kerja atau semasa bercuti.

Budaya kerja tanpa henti ini menjejaskan keseimbangan hidup. Ibu bapa bekerja keras untuk masa hadapan keluarga tetapi masa berkualiti bersama keluarga semakin berkurang. Dalam kehidupan moden, keseimbangan antara kerjaya, keluarga, rakan dan diri sendiri menjadi semakin mencabar.

AKF dan BDR menawarkan penyelesaian yang lebih fleksibel. Pekerja mengurus masa dengan lebih anjal, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan hidup. Mereka tidak lagi terikat sepenuhnya kepada pejabat, sebaliknya melaksanakan tugas secara lebih bebas tetapi bertanggungjawab.

Keseimbangan hidup tidak bermaksud pembahagian masa yang sama rata. Sebaliknya, individu mengurus keutamaan dengan bijak. Walaupun bekerja lama, seseorang masih boleh mengekalkan keseimbangan jika dia meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Makan malam tanpa gangguan telefon atau percutian ringkas dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Akhirnya, keseimbangan kerja dan kehidupan bergantung kepada pengurusan masa, emosi dan tanggungjawab secara berhemah. Individu perlu bekerja dengan komitmen tinggi dan pada masa sama memberi perhatian penuh kepada keluarga. Wang bukan segala-galanya kerana kebahagiaan dan ketenangan tidak dapat diukur dengan material.

Oleh itu, AKF dan BDR menjadi pemangkin penting dalam membentuk kehidupan yang lebih seimbang. Apabila kerja tidak menenggelamkan keluarga dan kejayaan tidak mengorbankan kebahagiaan, maka lahirlah kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.-UTUSAN

PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN