KEHIDUPAN bermasyarakat dan bernegara tidak dapat dipisahkan daripada sistem nilai yang menjadi pegangan bersama.
Setiap masyarakat, sama ada bersifat primitif mahupun moden dan kompleks, tetap memiliki nilai yang berfungsi sebagai panduan dalam mengatur kehidupan harian.
Sistem nilai ini menentukan apa yang dianggap baik atau buruk, betul atau salah, serta wajar atau tidak wajar dalam tindakan sosial.
Secara asasnya, sistem nilai boleh dianggap sebagai ‘kompas moral’ yang membimbing masyarakat untuk mencapai keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan hidup.
Dari sudut falsafah sosial, nilai budaya mempengaruhi pemikiran, tingkah laku dan tindakan manusia. Ia juga membentuk keupayaan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran. Contohnya, nilai seperti jujur dan amanah diterima secara universal.
Masyarakat menolak penipuan, penyelewengan dan sikap khianat kerana ia merosakkan keharmonian sosial serta kepercayaan dalam sistem masyarakat.
Sistem nilai yang dikongsi bersama ini membentuk kesedaran kolektif untuk menolak tingkah laku negatif. Ia juga mewujudkan rasa kekitaan yang kuat dalam masyarakat. Hubungan ini mengikat individu antara satu sama lain dan membina kehidupan sosial yang harmoni serta stabil.
Setiap individu perlu menyumbang kepada kesejahteraan sosial agar solidariti masyarakat dapat dikekalkan. Dalam masa sama, sistem pendidikan formal turut memperkukuh nilai ini melalui proses pembelajaran yang sistematik dan berterusan.
Selain itu, penglibatan dalam kerjaya dan kumpulan sosial juga membantu memperkukuh nilai masyarakat. Nilai baharu yang muncul hasil perubahan sosial perlu disesuaikan dengan nilai asas agar tidak bercanggah dengan norma kehidupan menyebabkan nilai masyarakat perlu dikawal supaya tidak membawa kepada kemusnahan struktur sosial.
Dalam konteks ini, tingkah laku prososial memainkan peranan yang sangat penting. Tingkah laku prososial merujuk kepada tindakan membantu, memberi dan mengambil berat terhadap orang lain secara sukarela tanpa mengharapkan balasan. Ia mencerminkan sikap prihatin terhadap kebajikan masyarakat serta keinginan untuk meringankan beban orang lain.
Tingkah laku ini turut melahirkan konsep altruisme, iaitu sikap membantu orang lain dengan ikhlas tanpa kepentingan diri. Individu yang mengamalkan altruisme menunjukkan tahap moral yang tinggi serta tanggungjawab sosial yang kukuh. Mereka bukan sahaja membantu tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Dalam keadaan hari ini, apabila kos sara hidup semakin meningkat dan tekanan ekonomi semakin dirasai, golongan rentan amat memerlukan sokongan daripada masyarakat. Sikap prososial menjadi semakin penting untuk membantu mereka yang hidup dalam kesusahan. Bantuan yang diberikan secara ikhlas mampu meringankan beban mereka dan mengembalikan harapan dalam kehidupan.
Oleh itu, masyarakat perlu menyemai dan mengamalkan nilai prososial dalam kehidupan seharian. Sikap mengambil berat, membantu dan prihatin bukan sahaja memperkukuh hubungan sosial tetapi juga menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang lebih penyayang dan sejahtera. –UTUSAN
MOHD AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Sosiopolitik bebas










