Amir Masdi menyendiri, wajib tidur lapan jam - Utusan Malaysia

Amir Masdi menyendiri, wajib tidur lapan jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA bulan sahaja lagi masa yang ada untuk melengkapkan dana sejuta ringgit bagi membolehkan penyanyi, Amir Masdi dan 92 pelajar dari Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) terbang membawa nama Malaysia memenangi World Music Contest (WMC) di Netherlands, Belanda. 

Bagi tujuan mengutip dana, sebuah konsert Winds Of Glory bersama Amir Masdi telah diadakan baru-baru ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hasil sumbangan kerajaan menyokong bakat tempatan serta hasil penjualan tiket, RM500,000  berjaya dikumpul, bermakna separuh juta lagi diperlukan agar impian mereka untuk membawa pulang trofi bertaraf dunia buat negara akan terlaksana.

Jelas Amir atau Amir Syazwan Masdi, 29, berikutan jadual yang padat, dia hanya berkesempatan membuat latihan sebanyak empat kali sahaja bersama SP Winds. 

Namun hasil kerjasama yang tidak berbelah bagi dan sikap profesional yang ditunjukkan kedua-dua pihak, mereka berjaya menyampaikan 28 lagu dengan baik pada konsert berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.

“Kami sangat mengalu-alukan sumbangan kewangan sebab pertandingan ini bukan hanya tentang saya sahaja tetapi juga SP Winds. 

“Semoga konsert ini juga dapat membuka mata semua terhadap bakat luar biasa yang dimiliki puteri kita dan kemampuan mereka untuk membawa nama Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

Bercakap mengenai persiapan konsert, Amir mendedahkan dirinya mempunyai ‘ritual’ tertentu yang akan dilakukannya sebaik sahaja menjelang konsert atau persembahan berskala besar. Baginya, rehat yang cukup adalah perkara mustahak demi memastikan kemampuan vokal dapat dipersembahkan dengan baik pada hari acara.

“Dalam soal persediaan, tidur dan jaga kecerdasan diri adalah perkara yang saya tidak ambil mudah. Saya menyendiri di rumah atau sekadar berjumpa pasukan saya untuk aturkan strategi bersama-sama termasuklah apa yang perlu dilakukan dan apa lagi yang perlu diberikan penekanan untuk tambah baik.

“Makan pun di rumah sahaja. Rutin saya ialah tidur setiap hari pada waktu yang sama selama lapan jam. Kemudian bangun pergi jogging. Saya tidak main bola sangat sebab risau cedera dan juga elak risiko terjangkit demam atau penyakit lain dengan orang sekeliling,” tambahnya.

Penyanyi Nurcinta itu akan melakukan perkara yang sama kira-kira sebulan sebelum persembahan besar. Kesannya, Amir mengakui dirinya lebih bertenaga dan bersedia untuk membuat persembahan berdurasi tiga jam.

“Selepas saya amalkan cara ini, saya akui badan rasa sangat berbeza kerana menyanyi memerlukan banyak stamina dan daya tahan yang tinggi. Sama juga macam kita nak sertai marathon,  persediaan kena besar juga.

“Sama juga dengan persiapan ke Belanda. Perkara sama juga akan saya lakukan sebelum pertandingan Julai ini,” katanya. 

Beberapa minggu selepas pertandingan di WMC di Belanda, penyanyi rock itu bakal sekali lagi berhadapan dengan pertandingan nyanyian berprestij apabila berentap di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 yang dijangka pertengahan Ogos. 

Teruja dengan kerjayanya yang semakin berkembang, Amir tidak tertekan sebaliknya percaya kepada strategi yang telah diaturkannya lebih awal dengan pihak pengurusan. Ditanya adakah SP Winds akan muncul mengiringi persembahannya di AJL nanti, Amir hanya tersenyum. 

“Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik untuk AJL nanti. Berkenaan gimik dengan SP Winds, kita akan fikirkan. Lagipula oleh sebab orang ramai sudah tahu kolaborasi ini, rasanya tidak terlalu janggal jika mereka bersama saya di pentas nanti.

“Apapun, saya belum berbincang lebih lanjut dengan cikgu mereka. Kena tunggu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN